Membawang Hari Ini

Fouziah Gous perlahan karier seni?

SETIAP wanita hamil pasti melalui pengalaman berbeza ketika hamil. Ada yang mengalami alahan teruk di awal kehamilan dan tidak kurang juga yang tidak langsung mengalami apa-apa tanda di awal kehamilan.

Begitulah yang dialami oleh aktres, Fouziah Gous, 32, kini.

Menurut Fouziah, sejak disahkan hamil, dia tidak mengalami apa-apa alahan, bahkan dapat menjalani rutin seperti biasa.

“Alhamdulillah saya tidak mengalami apa-apa alahan, atau jauh sekali rasa tidak bermaya. Ada yang kata, kehamilan ini melibatkan psikologi juga, kalau asyik fikir penat atau tak larat, mungkin kita tak mampu buat apa-apa.

“Tapi saya faham, ia bergantung pada individu itu juga. Macam doktor beritahu saya, saya seorang yang aktif, jadi tidak ada masalah untuk saya kekal aktif.

“Mungkin bagi orang yang kurang aktif, mereka akan rasa kesan yang berlainan bila mereka perlu aktif pada awal kehamilan.

“Malah saya hanya menjalani rutin seperti biasa, termasuk memenuhi undangan majlis. Bagi saya apa yang penting, kita kekal relaks dan jangan banyak berfikir ketika awal kehamilan,” katanya kepada Zass, baru-baru ini.

Berkongsi penerimaan suaminya, Md Zhafran Md Yusof, 32, Fouziah berkata, mereka sama-sama teruja dengan kehamilannya ini. Bahkan Zhafran juga rajin melayaninya setiap hari.

“Memang orang tua ada berpesan supaya jangan terlalu beriya di awal kehamilan. Tapi saya tidak mahu berahsia sangat kerana lambat laun orang akan mengetahui.

“Kami juga tidak kisah apa jantina anak ini kelak, dan kami berdua tidak putus berdoa agar anak di dalam kandungan ini akan sihat dan sempurna serta selamat dilahirkan.

“Layanan suami juga lebih istimewa kini dan dia sentiasa menuruti apa yang saya mahukan. Macam puteri pula kadangkala,” ujarnya yang hampir dua tahun mendirikan rumah tangga bersama Zhafran.

Di tebak mengenai perjalanan karier seninya selepas ini, pemilik nama sebenar Nor Fouziah Mohd Gous ini menjelaskan, dia sememangnya sudah mula memperlahankan karier lakonan sejak sebelum hamil lagi.

Bukan cuba bersikap demand mahupun terlalu selektif, Fouziah berkata, dia lebih selesa menerima tawaran yang sesuai dengan statusnya kini.

“Kalau nak lihat muka Fouziah Gous di TV tiap-tiap hari atau pun macam dulu mungkin sukar. Tetapi tidaklah bermaksud saya mahu berundur daripada dunia lakonan.

“Selain sibuk dengan rutin dan jadual sendiri, saya rasa pada satu tahap, kita kena melangkah setapak lagi ke hadapan.

“Lagipun saya bukan budak-budak lagi, apatah lagi dengan status saya kini, nak jadi emak pun. Saya tidak mahulah berlakon asal boleh. Saya akui saya kini hanya menerima tawaran yang sesuai.

“Biasanya kalau sebelum terima tawaran, saya akan beritahu apa yang saya tak boleh buat. Jadi kalau saya berlakon, biarlah yang kena dengan jiwa saya dan paling penting tidak menyusahkan produksi,” jelasnya.

Bagaimanapun ujar Fouziah, karier pengacaraannya sebagai hos rancangan wanita, Nona masih berjalan seperti biasa.

Sibuk perniagaan

Dalam pada itu, Fouziah berkata, dia kini masih sibuk menguruskan makanan kesihatan berasaskan sarang burung walet jenama FG Walet/My Walet Bird Nest.

Katanya, sehingga kini dia masih selesa menjalani perniagaan secara atas talian dan belum bersedia untuk memasarkannya secara besar-besaran.

“Alhamdulillah perniagaan berjalan dengan baik dan ada yang membantu menguruskan. Namun buat masa ini saya belum bersedia untuk memasarkan secara besar-besaran kerana saya bimbang tidak dapat memenuhi permintaan.

“Setakat ini, permintaan dan bahan yang ada sedang elok sahaja. Ini kerana saya tidak menggunakan mesin dalam membersihkan sarang burung, sebaliknya saya ada beberapa pekerja yang membersihkan dengan teliti, dalam memastikan produk ini berkualiti.

“Malah dalam satu hari, hanya 42 botol sahaja yang mampu disiapkan. Jadi kalau saya besarkan, saya sama macam produk lain yang menggunakan mesin untuk membersihkan dan kualiti itu tidak akan setanding dengan yang ada kini,” akhirinya.

Pati FG Walet/My Walet Bird Nest boleh didapati dengan harga serendah RM128 dengan kuantiti 6 botol kecil 70ml.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");