IPOH: Dewan Pemuda Pas kawasan Ipoh Timur menggesa pihak kerajaan untuk mengambil tindakan tegas terhadap penjualan mercun dan bungan api yang semakin berleluasa sepanjang bulan Ramadan.
Naib Ketuanya, Muhammad Rahmat Mohamed Zulkifli dalam kenyataan medianya di sini, berkata, penjual mercun berkenaan menjadikan bazar Ramadan sebagai lokasi strategik untuk menjual pelbagai jenis mercun termasuklah yang berisiko tinggi.
“Hasil daripada pemerhatian kami, seolah-olah tidak menjadi satu kesalahan kepada mereka untuk menjalankan aktiviti jual beli secara umum kepada masyarakat.
“Peniaga mercun dan bunga api dilihat bebas menjual bahan larangan itu tanpa rasa bimbang atau takut dikenakan tindakan oleh pihak berkuasa,” katanya.
Tegas beliau lagi, pihak berkuasa dilihat seperti membenarkan penjualan mercun berkenaan apabila penjualannya masih gagal dibanteras.
“Suasana ini sangat mendukacitakan apabila masyarakat sentiasa didedah dengan bahan letupan yang merbahaya khususnya kepada kanak-kanak.
“Saban tahun, kejadian yang tidak diingini disebabkan mercun dan bunga api sentiasa berlaku terutama dalam kalangan kanak-kanak hingga mengakibatkan kecederaan parah,” ujar beliau lagi.
Justeru, Rahmat berkata, pihaknya mengharapkan kerajaan melalui pihak berkuasa dapat membuat pemantauan secara meluas terhadap penjualan mercun berkenaan khususnya di bazar Ramadan dan premis perniagaan di seluruh negeri Perak.
Tambahnya lagi, pemantauan itu perlu disusuli dengan tindakan yang tegas jika penjual didapati bersalah kerana menjual barangan yang merbahaya serta melanggari undang-undang.
“Pihak berkuasa perlu bekerjasama dengan pihak Majlis Daerah yang menguruskan premis serta tapak bazar bagi menghalang penjualan mercun dan bunga api kepada masyarakat.
“Kami yakin penjualan mercun dan bungai api ini akan berjaya dibanteras jika pihak kerajaan melalui agensinya lebih serius dan bertanggungjawab untuk menanganinya,” jelas beliau lagi.