Berita Hari Ini

Hampir 400 kanak-kanak minta sedekah diselamat

KUALA LUMPUR – Seramai 391 orang kanak-kanak yang didapati mengutip dana atau meminta sedekah di tempat awam di seluruh negara diselamatkan dalam tempoh 2008 hingga 2014, kata Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Azizah Mohd Dun.

Beliau berkata, kanak-kanak itu yang diselamatkan di bawah Seksyen 17 (1)(k) Akta Kanak-Kanak 2001, kini berada di tempat selamat seperti pusat perlindungan kanak-kanak atau dikembalikan kepada ibu bapa atau penjaga mereka.

“Sementara bagi ibu bapa atau penjaga kepada kanak-kanak yang diselamatkan itu, mereka dikehendaki menyempurnakan bon di bawah perenggan 30 (1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 bagi memastikan mereka benar-benar melaksanakan tangungjawab yang sewajarnya terhadap anak mereka,” katanya di persidangan Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan Che Mohamad Zulkifly Jusoh (BN-Setiu) mengenai kekerapan kementerian melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menjalankan operasi menyelamatkan kanak-kanak yang menjadi mangsa eksploitasi mengutip dana atau meminta sedekah di tempat awam.

Azizah berkata, dalam menangani isu itu, kementerian melalui JKM sentiasa bekerjasama dengan agensi penguatkuasaan lain termasuk Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Jabatan Agama Negeri, Jabatan Pendidikan Negeri dan Jabatan Imigresen Malaysia dengan mewujudkan pasukan bertindak bagi menjalankan operasi bersepadu dan berkesan untuk menyelamatkan kanak-kanak berkenaan.

“Ini juga bagi memudahkan kita meminta kerjasama khususnya dengan pihak kerajaan negeri melalui jabatan agama bagi mengeluarkan larangan kepada sekolah agama dan anak yatim untuk mengutip derma dan membuat jualan amal selain penyelarasan mekanisme memugut derma.

“Sekiranya melibatkan sekolah-sekolah, maka jabatan pelajaran mesti terlibat dengan sama ada boleh atau tidak membenarkan kutipan derma melibatkan pelajar kecuali kutipan dijalankan pihak ibu bapa,” katanya.

Menurutnya, kementerian juga bekerjasama dengan Projek Lebuhraya Usahasama Berhad (Plus) bagi mencegah aktiviti eksploitasi kanak-kanak di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) serta Hentian Sebelah Plus.

“Selain itu, operasi turut dijalankan di bawah Akta Orang Papa 1977 bagi menyelamatkan pengemis termasuk kanak-kanak yang dieksploitasi,” katanya sambil menambah hasil kerjasama semua pihak berjaya meningkatkan jumlah kanak-kanak yang diselamatkan setiap tahun.

– Bernama

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");