Kuala Lumpur: Gesaan Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin agar pemain yang lahir daripada Program Pembangunan Bola Sepak Negara (PPBN) dihantar beraksi di luar negara disambut baik ramai pihak terutamanya kepada bekas pemain kebangsaan Khalid Ali yang menyifatkan idea seumpama itu wajib dilaksanakan segera.
Bagaimanapun, Khalid melihat peluang pemain muda PPBN untuk menembusi pasaran benua Eropah agak sukar ekoran peraturan di kebanyakan liga meletakkan hanya pasukan negara dalam ranking 70 teratas dunia sahaja layak beraksi di kelab-kelab utama Eropah.
Katanya, sasaran paling realistik adalah bermain di Liga Jepun dan Korea Selatan yang diakuinya turut memiliki standard dan tahap kualiti liga terbaik setanding Eropah.
“Saya menyambut baik dan menyokong kenyataan Menteri Sukan kita (Khairy Jamaluddin) yang mahu melarang pemain di bawah PPBN beraksi di dalam liga tempatan dengan menghantar mereka beraksi di luar.
“Seharusnya ia dilaksanakan 10 atau 15 tahun lalu oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) namun tindakan dan keputusan mereka sering berubah-ubah. Kalau mereka (FAM) jalankan dulu, mungkin sekarang sudah ada ramai pemain tempatan beraksi di kelab luar.
“Namun, kita kena fahami bukan senang untuk bermain di kelab Eropah kerana ranking pasukan negara kita jauh daripada syarat diletakkan mereka.
“Sebaliknya saya berpendapat Jepun dan Korea Selatan antara lokasi yang boleh kita tempatkan pemain di sana selain lebih murah,” katanya ketika dihubungi Arena Metro, semalam.
Menerusi laporan Arena Metro semalam, Ahli Parlimen Rembau itu mahu Pengarah Projek PPBN, Lim Teong Kim cuba menempatkan pemain-pemain yang melepasi usia 17 tahun untuk beraksi dalam liga di Eropah, Korea Selatan atau Jepun.
Menurut Khairy lagi, fokus PPBN amat berbeza dengan sistem FAM terutama dalam aspek latihan, pemain PPBN tidak manja malah mereka tidak dilatih untuk duduk dalam keadaan zon selesa maka semangat dan jiwa pemain lebih kuat.
“Saya yakin dengan struktur dan sistem PPBN yang kini banyak berkelana membawa pasukan muda itu beraksi di sekitar Eropah. Dengan persediaan awal ini, saya percaya tidak akan ada lagi pemain kita yang hanya duduk untuk lima atau enam bulan sahaja dan kemudian balik.
“Tetapi kali ini kelompok pemain itu akan kekal beraksi malah menjadi rebutan kelab-kelab di luar,” katanya.
-http://www.hmetro.com.my/node/60545#sthash.tieSpYS6.dpuf
-Metro