Sukan Hari Ini

Hantar saja Nazmi pulang – Norza

KUALA LUMPUR – “Saya fikir dia (Nazmi) memang patut dihantar pulang.

Itu pandangan peribadi Ketua Kontinjen Negara, Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria berhubung isu pemain negara, Muhd. Nazmi Faiz Mansor meludah pemain lawan, Filipe Oliveira sewaktu skuad bimbingan Datuk Ong Kim Swee menewaskan Timor Leste 1-0 pada aksi pertama Sukan SEA, Sabtu lalu.

Norza tanpa berselindung turut meluahkan rasa sedih terhadap tindakan yang dilakukan Nazmi kerana beliau menganggap perbuatan tersebut boleh mengundang pelbagai tohmahan serta cemuhan daripada pelbagai pihak.

“Jelas sekali saya amat sedih dengan insiden yang dilakukan oleh pemain tersebut kerana ia tidak melambangkan ciri-ciri seorang atlet yang profesional.

“Saya sudah berbincang bersama Datuk Kim Swee untuk melakukan tindakan sewajarnya berhubung insiden berkenaan. Sekiranya dia (Nazmi) patut balik kami akan menghantarnya pulang. Saya harap insiden tersebut menjadi pengajaran daripada atlet lain,” katanya.

Beliau ditemui pemberita sewaktu menghadiri majlis penajaan atlet Sukan SEA negara daripada pengeluar kasut terkemuka, Bata dan syarikat telekomunikasi, FlexiRoam. Turut hadir Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Tan Sri Tunku Imran Tuanku Ja’afar.

Dalam pada itu, Norza turut menjelaskan isu pihak media tidak boleh melakukan liputan terhadap atlet negara sudah menemui jalan penyelesaian hasil daripada perbincangan dengan pihak penganjur.

“Tiada lagi masalah berhubung masalah media tempatan dilarang membuat liputan sebab pagi tadi (semalam) timbalan saya telah berbincang dengan pihak penganjur dan mereka akan membuat kenyataan pada hari ini (semalam).

“Semua media perlu mendapatkan kebenaran daripada pengurus pasukan sekiranya mereka mahu membuat liputan,” katanya.
Tambah Norza, beliau mengamalkan sikap keterbukaan dalam penyampaian berita oleh media berharap perkara tersebut tidak lagi diperbesarkan.

“Mungkin ada sebab kenapa ada pengurus pasukan tidak mahu atlet mereka ditemu ramah. Mungkin mahu memberi tumpuan kepada sesi latihan. Namun saya faham, media ke Singapura kerana mereka mahu menyampaikan berita kepada umum,” katanya lagi.

Norza sempat mengulas, tiada sebarang larangan sekiranya atlet negara ingin makan di luar atau mengambil makanan selain dibekalkan oleh Institut Sukan Negara (ISN), namun segala risiko perlu ditanggung oleh mereka sendiri. Atlet perlu mendapatkan nasihat daripada ketua jurulatih atau pegawai ISN terlebih dahulu.

– S http://www.utusan.com.my/sukan/

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");