Membawang Hari Ini

Harith Iskander: Penguna teknologi perlu peka

LEWAT kebelakangan ini, industri hiburan dilanda isu berkaitan pornografi yang mana semuanya berpunca daripada kesan akses teknologi yang tidak bersempadan.

Bermula dengan bertebarnya sekeping foto separuh bogel yang dikaitkan dengan seorang pelakon wanita tempatan, kali ini industri digemparkan dengan penggunaan gambar kanak-kanak yang merupakan anak selebriti tempatan Malaysia dipercayai bermotifkan pedofilia.

Gambar kanak-kanak tersebut dimuat naik dalam sebuah laman web yang turut memaparkan gambar-gambar pornografi bertujuan untuk menarik perhatian orang ramai, sekali gus menaikkan jumlah audiens yang berkunjung ke pautan itu.

Pelakon komedi Harith Iskander, meluahkan rasa kesal apabila gambar anaknya disalahgunakan bagi pihak yang tidak bertanggungjawab itu.

Tidak mahu perkara tersebut berlaku kepada anak-anak lain, Harith menasihatkan orang ramai yang berkongsi gambar-gambar peribadi menggunakan teknologi agar lebih berhati-hati dan peka dengan keadaan sekeliling.

Menjadikan apa yang berlaku terhadap gambar bersama anaknya sebagai pengajaran, Harith berpendapat penting untuk individu mempelajari aplikasi Google Alert sebagai langkah berjaga-jaga.

“Ya. Memang penting untuk kita mengawasi setiap gambar peribadi yang dimuat naik ke dalam laman sosial. Saya tak pandai tapi ada orang yang ajar saya mengenai aplikasi ini.

“Saya daftar dengan tujuan saya peka kepada setiap artikel yang menggunakan nama saya di mana-mana media maya. Setiap kali nama saya ditulis, saya akan diberikan notifikasi dan saya akan tahu di pautan mana ia disiarkan.

“Ketika notifikasi mengenai gambar anak saya dipamerkan di e-mel, saya dapati alamat laman itu meragukan dan ternyata bila semakan dibuat ia laman pornografi. Dengan teknologi macam-macam boleh berlaku. Jadi kita sebagai pengguna kena berhati-hati. Aplikasi ini juga boleh membantu kita mengesan sekiranya seseorang menggunakan akaun palsu di media sosial,” katanya.

Terdahulu, pelakon komedi ini telah memuat naik satu posting di Facebook miliknya memberitahu umum bahawa gambar anak lelakinya berusia tiga tahun bersama gambar kanak-kanak lain disiarkan di sebuah laman web pornografi.

Harith menyedari perkara itu menerusi notifikasi Google Alert yang dihantar terus ke e-melnya pada Rabu. Susulan itu dia membuat laporan polis di Balai Polis Taman Tun Dr Ismail serta laporan kepada SKMM pada Khamis untuk tindakan lanjut.

Sehari kemudian, Harith dimaklumkan gambar anaknya serta lebih 100 gambar kanak-kanak lain dari negara ini telah pun dipadamkan dari laman berkenaan ekoran tindakan pantas pihak polis dan SKMM.

“Pihak berkuasa kita tiada autoriti untuk menutup laman web berkenaan kerana ia di luar bidang kuasa negara kita. Malah dari segi undang-undang United Kingdom, laman web pornografi tidak menjadi kesalahan. Bagaimana pun SKMM telah berjaya meminta bantuan pihak berkuasa di sana untuk memadamkan gambar kanak-kanak termasuk gambar anak saya.

“Saya difahamkan mereka mengambil atau mencuri gambar-gambar dari blog orang lain dan diletakkan ke dalam laman web mereka. Ia bertujuan untuk meraih peningkatan audiens di mana sekiranya seseorang mencari nama saya atau selebriti yang turut diletakkan dalam web itu, secara tidak langsung audiens akan dibawa ke pautan tersebut,” katanya.

Menurut Harith, laman web itu dibuka pada tahun ini dan menggunakan hampir keseluruhan gambar dari blog dan media sosial individu luar United Kingdom termasuk Malaysia.


Tomok dedah laporan SKMM

Selain daripada Harith Iskander, seorang lagi selebriti iaitu Tomok turut menjadi mangsa eksploitasi pihak tidak bertanggungjawab di mana gambar anaknya turut dicuri dan dimuat naik dalam laman pornografi yang sama.

Tidak berdiam diri dengan keadaan itu, Tomok telah membuat laporan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

“Aduan sudah dibuat. Semoga benda ni tidak berlaku lagi,” ujarnya kepada Zass.

Dalam pada itu, Tomok turut berkongsi di Intagram milikinya, mengenai maklum balas SKMM yang akan mengkaji aduannya serta akan mengambil tindakan seperti mana yang dibenarkan di bawah Peruntukan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Selain daripada Tomok, gambar anak kepada pelakon Erra Fazira juga digunakan untuk tujuan sama.

Perkara ini bukan sahaja melanggar batas hak individu kerana mengakses dan mencuri gambar peribadi, tetapi juga boleh menimbulkan kesan buruk di masa hadapan kepada ke atas kanak-kanak tersebut.

Sementara itu, Ketua Komunikasi Strategiknya SKMM, Sheikh Raffie Abdul Rahman berkata, pihaknya telah mengarahkan semua penyedia internet (IP) di seluruh negara menyekat laman web pornografi yang dikaitkan dengan gambar anak selebriti di negara ini.

Arahan itu dibuat susulan tindakan pihaknya yang mengarahkan webmaster laman pornografi berkenaan memadam lebih 100 gambar kanak-kanak dari negara ini yang dipaparkan di laman web terbabit.

Gambar-gambar itu diambil menggunakan perisian tertentu bagi membolehkan sebarang carian popular atau tertinggi termasuk cerita artis negara ini akan terhubung terus kepada laman web mereka.

“Bagaimanapun, tiada satu pun gambar-gambar yang dipaparkan berunsur lucah. Cuma menjadi kesalahan apabila ia dipaparkan di laman web pornografi,” katanya.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");