Sukan Hari Ini

Harungi saingan tanpa Abdul Rahman

TERENGGANU akan meneruskan baki saingan Liga Super musim ini tanpa khidmat ketua jurulatihnya, apabila Abdul Rahman Ibrahim membuat keputusan untuk mengambil cuti rehat selama tiga bulan berkuat kuasa semalam.

Presiden, Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT), Datuk Wan Ahmad Nizam Wan Abdul Hamid berkata, pihaknya sudah pun meluluskan permohonan pengendali berusia 69 tahun itu berkuat kuasa serta merta.

Menurutnya, sepanjang ketiadaan Abdul Rahman, skuad Penyu akan dibimbing penolongnya, Ahmad Yusof dan Mustapha Kamal Abdul bermula aksi menentang Sarawak yang dijadualkan pada Sabtu nanti.

“Kita sebenarnya memanggil Abdul Rahman pada hari ini (semalam) untuk berbincang dan mengenal pasti punca kemerosotan prestasi Terengganu sehingga menyebabkan skuad Penyu kalah dalam enam perlawanan berturut-turut.

“Begitu pun, Abdul Rahman sebaliknya memohon bercuti selama tiga bulan dan kami terpaksa akur keputusan dibuat beliau. Memang terkejut dan sedih, tetapi kami perlu menghormati sikap profesional Abdul Rahman itu,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan mesyuarat khas berkenaan prestasi semasa Terengganu di pejabat PBSNT di sini, semalam.

Hadir sama, Timbalan Presiden merangkap pengurus pasukan, Marzuki Sulong, Setiausaha Agung PBSNT, Arpin Draman, ahli jawatankuasa PBSNT dan pemain.

Dalam pada itu, Wan Ahmad Nizam berkata, pihaknya memberi peluang Ahmad Yusof dan Mustapha Kamal membuktikan kemampuan dalam perlawanan bertemu Sarawak, Sabtu ini dan Sime Darby, pada 8 Julai.

Mengulas perjumpaan dengan pemain, kejurulatihan dan pegawai berhubung prestasi pasukan, dia berkata pihaknya mendapati skuad Penyu tidak menghadapi sebarang masalah besar sebaliknya enam kekalahan berturut-turut itu disifatkan tiada rezeki buat pasukan.

Katanya, selepas perjumpaan, pihaknya berpuas hati dengan penjelasan yang diberikan dan mendapati tiada masalah besar berlaku dalam skuad Penyu sehingga mengakibatkan kekalahan dalam enam perlawanan berturut-turut.

“Apa pun kita berharap episod enam kekalahan sebelum ini akan segera berakhir apabila Terengganu turun bertemu Sarawak dan Sime Darby nanti.

“Justeru, kami (PBSNT) mengharapkan seluruh rakyat Terengganu dan penyokong akan terus memberi sokongan padu bagi menaikkan semula moral pemain untuk menamatkan kemarau kemenangan,” katanya.-sinar harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");