Jenayah

Hentikan viral kapal terbang jatuh

KOTA BHARU – Ketua Polis Kelantan, Datuk Mazlan Lazim menggesa orang ramai menghentikan viral kapal terbang terhempas yang didakwa berlaku di kawasan Kampung Lata Manis, Gua Musang, malam kelmarin.

Menurutnya, pihak polis telah menyiasat perkara tersebut dengan pihak berkenaan terutamanya pusat kawalan penerbangan di Kota Bharu dan maklumat tersebut ternyata tidak benar.

“Kita telah siasat dengan mereka (pusat kawalan), semua pesawat sampai dengan baik, termasuklah juga dengan pihak Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

Mereka (TUDM) mengesahkan semua pesawat mereka tidak hilang dan dalam masa yang sama memaklumkan ada pesawat yang membuat latihan di kawasan tersebut.

“Itu sebabnya kita percaya pemberi maklumat itu mungkin nampak pesawat yang berkenaan terbang rendah semasa buat latihan. Memang mereka sedang berlatih untuk terbang rendah,”katanya kepada media selepas merasmikan Pelancaran United Againts Crime, Bersama Membanteras Jenayah di RTC Tunjong, di sini.

Viral yang mengatakan sebuah kapal terbang didakwa jatuh di kawasan Kampung Lata Manis, Gua Musang jam 8.30 malam kelmarin menggemparkan seluruh negara walaupun kehadiran Jabatan Bomba dan Penyelamat serta pihak polis di kawasan tersebut tidak menjumpai sebarang bukti sebagaimana yang disebarkan.

Menurutnya, viral tersebut perlu dihentikan segera bagi memastikan orang ramai tidak panik dan hasil maklumat dari Ketua Balai Paloh serta rondaan dilakukan, perkara tersebut memang tidak wujud.

Beliau berkata, malah penduduk kampung yang ditemui pihak polis juga menyatakan yang mereka tidak mendengar sebarang bunyi atau perkara yang mencurigakan sebagaimana yang diviralkan sejak kelmarin.

Mengulas program United Againts Crime tersebut, beliau berkata, ia diharapkan dapat bantu kurangkan kadar jenayah ke tahap yang lebih minimum selain dapat tingkatkan kadar penyelesaian kes dan banteras jenayah terancang.

“Program ini ialah program yang diadakan setiap tahun, kita juga mensasarkan lebih 15,000 pengunjung akan membanjiri lebih 120 gerai jualan dan pameran yang kita sediakan. Ini akan membantu kita mencapai sasaran kutipan tabung sebanyak RM70,000 hingga RM80,000 kali ini.

“Kita akan gunakan dana tersebut untuk sumbangan anak-anak yatim dan saya anggapkan ini adalah hari keluarga Polis Kelantan kerana di sini semuanya kita sediakan, kita berkampung dan dalam masa yang sama berjumpa rakyat dalam skop pencegahan jenayah ini,” katanya.

Pada majlis itu juga, Mazlan turut merasmikan dua buah buku iaitu 111 Tips Mencegah Jenayah dan 100 Mitos dan Fakta Mengenai Jenayah, Penjenayah dan Mangsa Jenayah yang boleh didapati secara percuma di karnival selama tiga hari itu.

-SInar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");