Jenayah

Isteri tak tahan derita kena pukul

KUALA NERANG – Seorang isteri terpaksa menyerahkan suaminya, seorang penagih dadah kepada Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Padang Terap kerana tidak sanggup lagi menderita kerana sering diugut dan dipukul.

Rosmawati (bukan nama sebenar) dikatakan sering dipukul jika gagal menyerahkan wang untuk suaminya bagi membeli dadah jenis morfin yang ditagihnya sejak empat tahun lalu.

Menurutnya, wang hasil menoreh getah bersama suaminya itu digunakan membeli dadah hingga ada kalanya menyebabkan wang simpanan untuk membeli susu anaknya turut habis.

“Saya sudah tidak mampu lagi sediakan RM30 setiap hari untuk suami membeli dadah. Kalau tak, dia akan mengamuk dan pukul saya. Mahu tak mahu saya terpaksa bagi wang.

“Kalau wang tiada, dia akan curi barang kemas dan jual apa sahaja barang untuk dapatkan wang beli dadah. Keadaan ini menyebabkan saya dan anak sering tertekan,” katanya.

Ibu dua anak ini berkata, dia nekad menyerahkan suaminya kepada AADK untuk membantu memulihkan kembali kehidupan suaminya.

“Isteri mana yang mahu berpisah dengan suami, apatah lagi anak-anak juga turut rasa kehilangan.

“Namun, dengan sokongan bapa mertua, saya terus pujuk dan serahkan suami saya ke pusat pemulihan di Pulau Pinang. Semuanya demi masa depan kami,” katanya.

Sementara itu, Penolong Pegawai AADK Padang Terap, Megat Rodzep Megat Teh berkata, keputusan dibuat Rosmawati itu boleh dijadikan contoh kepada isteri penagih yang lain.

Menurutnya, tindakan Rosmawati menyerahkan suaminya bagi mendapat rawatan pemulihan sangat baik kerana ia bukanlah sebagai tempat hukuman.

“Di sana penagih akan diberi kaunseling dan motivasi untuk mendapatkan kehidupan baharu selepas mereka keluar nanti. Malah, mereka akan diberi pendedahan mengenai kemahiran hidup supaya dapat membantu mereka mencari pekerjaan.

“Sebelum ini, kita banyak hadapi kes berkaitan keengganan menyerahkan ahli keluarga terbabit dengan dadah ke pusat pemulihan dengan alasan penagih itu sumber pendapatan keluarga selain ada anak kecil,” katanya.

-Sinar harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");