Berita Hari Ini

JKM salur bantuan RM1 juta sebulan

TANAH MERAH – Kerajaan melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Jajahan Tanah Merah memperuntukkan hampir RM1 juta setiap bulan bagi membantu golongan kurang berkemampuan di tiga Dun di parlimen ini dan satu Dun di Jeli.

Pegawai Kebajikan Masyarakat jajahan ini, Wan Azahari Wan Muhammad berkata, peruntukan itu disalurkan melalui enam kategori bantuan membabitkan seramai 4,214 penerima dari empat Dun berkenaan.

Katanya, empat Dun terbabit ialah Dun Bukit Panau, Dun Gual Ipoh dan Dun Kemahang di Parlimen Tanah Merah serta Dun Bukit Bunga di Parlimen Jeli yang terletak di bawah pentadbiran JKM jajahan berkenaan.

“Daripada jumlah tersebut (4,214), lebih 90 peratus penerima menerima elaun bulanan melalui akaun bank masing-masing, manakala selebihnya secara manual di pejabat JKM jajahan,” katanya.

Menurutnya, enam kategori bantuan tersebut ialah Bantuan Orang Tua (RM300); Bantuan Pesakit Terlantar (RM300); Bantuan OKU Tidak Bekerja (RM200); Elaun Pekerja Cacat (RM350); Bantuan Kanak-Kanak (RM110-RM450) dan Bantuan Am (RM120).

“Selain enam kategori bantuan tersebut, kita juga ada Bantuan Anak Peliharaan sebanyak RM250 sebulan dan setakat ini, di Tanah Merah hanya ada seorang penerima,” kata Wan Azahari.

Jelasnya, bantuan tersebut diberi berdasarkan permohonan yang dibuat kepada JKM melalui perintah mahkamah seperti membabitkan kes anak terbuang yang diberikan hak penjagaan oleh mahkamah.

“Bantuan lain ialah bantuan ‘one-off’ di bawah Tabung Bantuan Segera JKM, diberikan kepada penduduk miskin yang layak sebelum permohonan untuk elaun bulan diproses bagi kelulusan,” katanya.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");