Sukan Hari Ini

Kami bersedia: Van Huizen

Antwerp: Malaysia sudah bersedia untuk bertemu siapa saja lawan di suku akhir kerana tiada pilihan selepas tewas 1-3 kepada Britain dalam perlawanan terakhir peringkat kumpulan saingan Separuh Akhir Liga Hoki Dunia, semalam.

Kekalahan itu bermakna Malaysia kini menduduki tempat ketiga Kumpulan B dan terpaksa menunggu perlawanan pasukan lain dengan Belgium bertemu Ireland dan India menentang Australia yang berlangsung lewat malam tadi.

Pengurus pasukan, Stephen van Huizen berkata anak buahnya mesti bersedia dari segi mental dan fizikal untuk menghadapi perlawanan suku akhir Rabu ini kerana pertemuan itu boleh diibaratkan misi hidup mati bagi mencerahkan peluang layak ke Sukan Olimpik Rio 2016.

“Kita juga ada kemungkinan bertemu India atau Australia di suku akhir. Jika boleh, tidak Australia kerana semua orang tahu apa pasukan itu boleh buat. Tapi, jika tiada pilihan tidak ada apa yang kita boleh lakukan.

“Bagaimanapun saya harap pemain akan bangkit pada perlawanan itu kerana kita mesti menang. Ini peluang terakhir dan pemain perlu bersedia dari segi mental dan fizikal,” katanya selepas perlawanan di Stadium KHC Dragons itu.

Mengenai pertemuan menentang Britain, Stephen berkata, Malaysia tidak bernasib baik kerana pasukan kelima terbaik dunia itu menjaringkan dua gol ketika skuad negara kehilangan kapten Muhamad Razie Rahim akibat direhatkan kerana dilayangkan kad kuning.

“Kita tidak boleh beraksi dengan sembilan atau 10 pemain kerana dalam perlawanan menentang pasukan seperti Britain, semua pemain diperlukan dalam padang.

“Bagaimanapun, kita bermula baik walaupun kehilangan Faizal Saari buat beberapa minit kerana kecederaan di kepala.
Apapun, Britain memang bermain baik untuk menang dan tahniah buat mereka,” katanya.

Speedy Tigers memulakan aksi dengan banyak bertahan dan sekali-sekala melancarkan serangan. Kecuali insiden penyerang Faizal mengalami kecederaan kepala tidak banyak yang menarik untuk diperkatakan sehingga perlawanan memasuki minit ke-14.

Dalam salah satu serangan balas pantas, Muhamad Haziq Shamsul menjaringkan gol pertama negara dengan pukulan kilas dari pinggir kawasan D yang menewaskan penjaga gol Britain George Pinner.

Bagaimanapun Britain bangkit pada suku kedua apabila David Condon berjaya menyamakan kedudukan menerusi sudut penalti pada minit ke-31. Mereka mula menguasai perlawanan dalam keadaaan skuad negara buntu dengan aksi lembab.

Dua gol berturut-turut dalam tempoh seminit menyusul kemudian. Pada minit ke-49 Ashley Jackson menjaringkan gol kedua menerusi sudut penalti sebelum Sam Ward menjadikan 3-1 hasil gol padang.

– http://www.hmetro.com.my/

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");