BUKIT MERTAJAM: Tindakan jawatankuasa sebuah masjid di Alma Jaya, menimbus kubur lama ketika menggali liang lahad baharu menyebabkan beberapa kubur lama di tanah perkuburan berkenaan ‘ghaib’.
Tindakan yang dikatakan bagi memudahkan kerja pengebumian, menimbulkan rasa tidak puas hati beberapa waris yang tampil membuat aduan kepada pihak Masjid Jamek Alma Jaya.
Waris, Norizan Abd Aziz, 63, berkata dia terkejut melihat kubur ibunya ‘hilang’ akibat ditimbus tanah ketika menziarahi tanah perkuburan berkenaan awal Ramadan lalu.
Katanya, tindakan membawa jengkaut bagi melakukan kerja penggalian sehingga merosakkan batu nisan kubur lama adalah perbuatan tidak menghormati ahli keluarga arwah.
“Saya tidak kisah jika mereka hendak korek liang lahad secara banyak sebagai persediaan memudahkan urusan pengebumian, namun tindakan melonggokkan tanah merah ke atas kubur lain sememangnya melampau.
“Ini bukan kali pertama, kami ahli keluarga terpaksa mengupah pekerja membersihkan longgokan tanah yang ‘menenggelamkan’ kubur ibu saya. Tinjauan BH mendapati pihak pengurusan masjid menggali sekurang-kurang tujuh liang lahad dan menimbunkan tanahnya ke lima kubur berdekatan bertujuan memudahkan kerja menimbus sekiranya ada pengebumian.
Norizan berkata, dia bersama beberapa waris sudah membuat aduan kepada pihak masjid dan berharap tindakan segera dapat diambil.
“Aidilfitri semakin hampir, ramai anak cucu akan pulang dan menziarahi tanah perkuburan ini pada pagi Syawal. Bayangkanlah perasaan mereka jika melihat keadaan kubur ayah dan ibu mereka begini,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Yang Dipertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP), Datuk Abdul Halim Hussain, berkata pihaknya akan mendapatkan maklumat lanjut berkaitan isu terbabit.
“Tidak sepatutnya lebihan tanah yang dikorek ditimbus di atas kubur dan batu nisan orang lain kerana ia bukan saja tak elok, malah menyukarkan waris untuk ziarah nanti.
“Saya akan dapatkan maklumat terperinci sebelum tindakan lanjut diambil bagi membantu menyelesaikan isu ini,” katanya ketika dihubungi semalam.
-http://www.bharian.com.my/node/64324
-Berita Harian