Panasnya Hari Ini

Kerajaan Persekutuan Sedia Dana RM10 Juta Untuk Negeri Sabah

KUALA LUMPUR: Kerajaan Persekutuan bersetuju untuk menyediakan dana berjumlah RM10 juta untuk negeri Sabah.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata dana berkenaan adalah untuk proses membaikpulih kerosakan yang dialami berikutan kejadian gempa bumi yang berlaku di negeri itu baru-baru ini.

Selain itu, katanya lagi, langkah sewajarnya akan dikenal pasti dan diambil untuk mengembalikan Taman Kinabalu sebagai antara destinasi yang terkenal di dunia.

“Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan negeri Sabah akan bekerjasama dalam proses pemulihan, selain membina alat pengesan gempa bumi moden.

“Kerajaan juga akan memperluas kawasan pendaratan helikopter bagi memudahkan pendaratan helikopter tentera dan ini mungkin mengambil masa 3 minggu untuk disiapkan,” ujar beliau menerusi laman blognya NajibRazak.com semalam.

Tambah Najib lagi, pihaknya turut akan mengadakan perbincangan dengan kerajaan Sabah bagi mewujudkan sebuah anugerah istimewa kepada malim gunung yang telah terkorban dan turut membantu dalam kerja-kerja menyelamat sewaktu gempa berlaku.

“Terima kasih kepada semua yang telah berusaha untuk mencari dan menyelamat, terutamanya para malim gunung yang menunjukkan keberanian meskipun sedar akan risiko tinggi yang mereka hadapi,” jelasnya.

Sementara itu, Najib turut menafikan dakwaan yang menyatakan bahawa kelewatan bantuan untuk sampai ke kawasan yang dilanda gempa bumi berkenaan.

“Ingin saya tegaskan bahawa tuduhan-tuduhan yang menyatakan bahawa bantuan sampai lambat adalah tidak benar sama sekali.

“Agensi kerajaan yang terlibat telah berusaha sehabis baik, terutamanya berdepan dengan pelbagai cabaran seperti keadaan cuaca yang tidak memihak kepada kita.

“Semua pihak telah menjalankan tanggungjawab masing-masing dan menitikberatkan keselamatan serta kebajikan mangsa,” tambah beliau lagi.

Beliau juga berharap agar keluarga mangsa yang terkorban akan terus tabah dan tidak lemah semangat sebaliknya akan lebih mengukuhkan kebersatuan bersama semua pihak.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");