Jenayah

Kontraktor parah ditembak dari belakang

KUANTAN – Seorang kontraktor parah setelah terkena tembakan di belakang leher yang dilepaskan oleh seorang lelaki tidak dikenali dalam kejadian di kawasan tempat letak kereta dekat sebuah hotel di Indera Mahkota di sini awal pagi tadi.

Dalam kejadian 1.21 pagi itu, mangsa Mohd Isa Ismail, 43, dari Kemaman, Terengganu yang memandu kenderaan Proton Persona dikatakan baru tiba di hotel itu untuk bertemu dengan seorang wanita sebelum seorang lelaki secara tiba-tiba muncul di belakangnya dan melepaskan dua das tembakan.

Ketua Polis Daerah Kuantan Asisten Komisioner Abdul Aziz Salleh berkata satu tembakan tersebut terkena belakang leher mangsa menyebabkan mangsa mengalami kecederaan parah namun sempat menyelamatkan diri.

“Mangsa dalam keadaan berlumuran darah menyelamatkan diri dengan memandu sejauh lima kilometer menghala Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan dan dia ditemui dalam keadaan separuh sedar dalam kawasan IPD Kuantan oleh seorang anggota polis yang sedang bertugas.

“Beliau kemudiannya dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Afzan untuk mendapatkan rawatan lanjut,” katanya kepada Bernama.

Abdul Aziz berkata hasil pemeriksaan di tempat kejadian yang dijalankan oleh sepasukan anggota Unit Forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang, menjumpai dua kelongsong peluru dipercayai daripada tembakan yang dilepaskan suspek.

“Polis turut menemui kesan tembakan pada cermin belakang kenderaan mangsa,” katanya.

Beliau berkata mangsa kini dilaporkan dalam keadaan stabil dan dijangka akan menjalani pembedahan dalam tempoh terdekat untuk membuang peluru pada lehernya.

Abdul Aziz berkata polis kini sedang menyiasat motif sebenar kejadian dan meminta saksi yang melihat kejadian itu agar tampil membantu siasatan. – Bernama

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");