Jenayah

Lagak ngeri tak sengaja

GUA MUSANG – Akibat tersalah laluan, dua lelaki nyaris maut apabila kereta jenis Perodua Myvi yang mereka naiki menjunam dari ketinggian 40 meter ke dalam Sungai Nenggiri, berhampiran Kampung Pulau Setelu, di sini, malam kelmarin.

Kejadian berlaku kira-kira jam 11.30 malam di Kilometer 28 Jalan Gua Musang-Jeli, apabila kedua-dua lelaki berkenaan tersilap lorong menyebabkan mereka memasuki laluan jambatan lama yang runtuh dalam kejadian bah kuning pada penghujung tahun lalu.

Mereka bagaimanapun bernasib baik kerana pemandu, Wan Mohd Adil Wan Zaki, 32, hanya cedera ringan di mulut dan terseliuh bahu, manakala penumpang, Daiman Mamat, 46, tidak mengalami sebarang kecederaan.

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Saiful Bahri Abdullah berkata, semasa kejadian, kedua-dua lelaki berkenaan dalam perjalanan dari Pulau Pinang untuk pulang ke kampungnya di Terengganu.

Menurutnya, ketika dalam perjalanan, mereka tersilap memasuki lorong dan melalui jambatan lama yang runtuh menyebabkan kereta dinaiki mereka menjunam ke dalam sungai.

“Kedua-dua lelaki terbabit masih berada dalam kereta berkenaan selepas ia menjunam ke dalam sungai dan mereka bernasib baik kerana diselamatkan oleh penduduk berdekatan. Kedua-duanya dihantar ke Hospital Gua Musang untuk menerima rawatan.

“Mungkin pemandu kereta terbabit kurang biasa dengan jalan berkenaan dan tidak menyedari sebuah jambatan baharu telah dibina untuk laluan sementara, bersebelahan jambatan runtuh itu,” katanya.

Jambatan lama Pulau Setelu runtuh dalam kejadian banjir besar akhir Disember lalu menyebabkan jalan perhubungan darat di kampung itu terputus dan sebuah jambatan sementara dibina untuk mengatasi masalah berkenaan.

Saksi kejadian, Nor Hashim Mohamad, 35, ketika ditemui di tempat kejadian memberitahu, dia turut membantu kedua-dua mangsa yang terperangkap dalam kereta berkenaan setelah ia terjunam ke dalam Sungai Nenggiri.

Katanya, sebelum itu dia diberitahu oleh sepasang suami isteri warga emas yang terdengar suara lelaki meminta tolong kerana terperangkap dalam kereta terbalik dalam sungai.

“Sebaik sahaja diberitahu mengenai kejadian itu, saya bergegas ke tempat kejadian untuk membantu mengeluarkan kedua-dua lelaki tersebut dari kereta dan membawa mereka ke tebing sungai menggunakan bot,” katanya.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");