Sukan Hari Ini

Lazio benam Napoli, sahkan tempat ke Liga Juara-Juara

MILAN: Gol lewat Ogenyi Onazi dan Miroslav Klose ketika menewaskan Napoli 4-2 dalam saingan terakhir Serie A musim ini, awal pagi tadi mengesahkan tempat buat Lazio di Liga Juara-Juara Eropah, musim depan.

Dengan Juventus dan Roma sudah mengesahkan tiket secara automatik, Napoli yang dibimbing jurulatih ‘panas’ Rafa Benitez memerlukan kemenangan untuk menghalang Lazio selepas kedua-duanya berpeluang layak ke saingan elit Eropah itu.

Ketinggalan 2-0 berakhir babak pertama, Napoli bangkit menerusi jaringan Gonzalo Higuain yang menyumbat dua gol untuk menyamakan kedudukan pada minit ke-55 dan 64.

Lazio di depan menerusi jaringan Marco Parolo pada minit ke-33 diikuti gol Antonio Candreva pada masa kecederaan babak pertama dengan Higuain turut gagal menyempurnakan sepakan penalti.

Ketika perlawanan terikat 2-2 dengan kedua-dua pasukan beraksi dengan 10 pemain, Lazio berusaha lebih keras bagi memastikan tempat ketiga liga milik mereka menerusi jaringan Onazi lima minit sebelum perlawanan berakhir diikuti gol penyerang veteran Jerman, Klose pada masa kecederaan.

“Kami melakukan kerja yang hebat malam ini untuk menamatkan musim yang hebat,” kata Candreva kepada Sky Sport.

“Kami bernasib baik kerana Higuain mensia-siakan sepakan penalti namun kami mendapat tempat ketiga liga dan amat menghargainya lebih-lebih lagi selepas kekalahan pada perlawanan tetangga” katanya.

Lazio baru-baru ini tewas pada final Piala Itali kepada Juventus sebelum dikejutkan dengan kekalahan kepada kelab tetangga, AS Roma, minggu lalu.

Kekalahan Napoli memaksa kelab itu menamatkan saingan liga di kedudukan kelima di bawah Fiorentina yang mencatat kemenangan 3-0 ke atas Chievo.

Perlawanan menentang Lazio menjadi perlawanan terakhir Benitez bersama kelab Itali itu selepas mengumumkan peletakan jawatannya dan dilaporkan bakal membimbing Real Madrid, musim depan. – AFP /http://www.bharian.com.my

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");