Berita Hari Ini

Mahfuz kata 1MDB terima suntikan hanya jaga maruah

SHAH ALAM – Ketua Penerangan Pas, Datuk Mahfuz Omar mendakwa kenyataan Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah berkenaan suntikan dana sebanyak AS$1 bilion (RM3.66 Billion) kepada 1MDB menimbulkan pelbagai persoalan baharu.

Katanya, ramai yang tertanya apakah jenis ‘suntikan’ yang diberikan untuk merawat ‘kanser tahap kritikal’ yang dihidapi oleh 1 MDB walaupun, pihak 1 MDB tampil memperjelaskan bahawa suntikan ASD 1 Billion itu adalah transaksi perniagaan dan bukan satu pinjaman, hutang atau jaminan keluar.

“Namun demikian, rupanya-rupanya penjelasan 1MDB itu telah menimbulkan persoalan baru apabila dalam kenyataan tersebut mengandungi pernyataan.

“Ia adalah bayaran awal sebagai sebahagian daripada perjanjian yang lebih luas untuk mengendalikan pelbagai aset kewangan dan transaksi liabiliti antara International Petroleum Investment Company IPIC, Aabar dan 1MDB secara menyeluruh.

“Bukankah ini bermakna, wujudnya perjanjian transaksi perniagaan antara 1 MDB dengan pihak syarikat dari Abu Dhabi itu, yang pastinya akan memberi keuntungan kepada pihak tersebut,” katanya dalam satu kenyatan medianya hari ini.

Mahfuz berkata oleh itu, penjelasan daripada pihak kerajaan dan 1 MDB diperlukan untuk menjawab segala persoalan ini.

“Mereka (kerajaan dan 1MDB) perlu menjawab dakwaan bahawa adakah IPIC dan anak syarikatnya Aabar Investment akan diberikan pegangan sehingga 49% dalam anak syarikat 1 MDB, Edra Global Energy,” katanya.

Mafuz menambah, setelah berbelanja sehingga mencecah RM12 billion untuk membeli IPP, kini 1 MDB dengan mudahnya pula ingin menyerahkan pegangan sebanyak 49% di dalam Edra Global Energy kepada syarikat dari Abu Dhabi itu sebagai timbal balas atas ihsan bantuan yang diberikan untuk membantu 1 MDB membayar hutangnya yang menggunung tinggi.

“Hakikatnya, hubungan 1MDB dengan IPIC ini bukanlah perkara baru. IPIC ini sudah pun datang membantu pada 2012 dahulu ketika 1MDB membeli IPP daripada Syarikat Tanjong dan Genting Berhad. Ketika itu, IPIC memberikan jaminan kertas hutang dengan yang bernilai USD 3.5 Billion (RM 11.2 Billion) untuk membantu 1 MDB menyelesaikan urusan pembelian IPP.

“Kini, IPIC muncul kembali sebagai penyelamat kepada 1MDB. Persoalannya, adalah ini langkah strategik yang bijak atau sekadar helah untuk menyelamatkan 1MDB yang kian karam dengan hutang yang tidak tertanggung lagi. Rakyat mungkin sering diperdengarkan khabar indah berkenaan 1MDB sedangkan hakikatnya kanser yang dialami 1MDB itu sudah pun di tahap kritikal yang tidak dapat diselamatkan lagi.

“Segala tindakan dibuat hanya demi menjaga maruah PM Najib sebagai perintis dan penaung utama 1MDB yang kini sedang diasak hebat di segenap penjuru. Setelah satu-persatu rahsia dan misteri 1MDB didedahkan, kini rakyat sudah pun mula membuka mata, mereka melihat segala tindakan penyelamatan 1MDB itu sebenarnya tidak ubah seperti tikus membaiki labu,” katanya.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");