Berita Hari Ini

Malaysia di laluan betul jadi negara pintar

SINGAPURA – Walaupun menghadapi cabaran, Malaysia berada di laluan betul ke arah menuju negara pintar, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.

“Kita mempunyai pameran kita, namun sudah tentu kita tidak bersaing dari segi negara pintar…kerana bagi mereka (negara kecil) bermaksud bandar raya pintar.

“Cabaran kita adalah lebih besar kerana sebelum kita menjadi negara pintar, secara keseluruhan kita mesti memastikan aspek perhubungan kita sudah tersedia,” katanya kepada Bernama selepas melawat Pavilion Malaysia di CommunicAsia2015 di Pusat Konvensyen Marina Bay Sands di sini, semalam.

Turut hadir Menteri Komunikasi dan Penerangan Singapura, Dr Yaacob Ibrahim dan Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Datuk Seri Dr Halim Shafie.

Ahmad Shabery ditanya mengenai inisiatif Malaysia untuk menjadi negara pintar susulan kepada pengumuman Yaacob sebelum itu mengenai butiran kepada hasrat Singapura untuk menjadi negara pintar, semasa majlis pembukaan Infocomm Media Business Exchange 2015 (imbX 2015).

Di bawah panduan Pelan Induk Media Infocomm, Pihak Berkuasa Pembangunan Infocomm Singapura (IDA) akan mengemukakan idea dan inisiatif baharu untuk memacu wawasan Negara Pintar Singapura.

Menyentuh mengenai perhubungan, Ahmad Shabery berkata: “Kita mesti (pastikan) yang kita memiliki kelajuan Wifi yang baik dan sebagaianya.

“Jadi kita mesti membawa cerita kita mengenai cabaran yang kita perlu hadapi. Satu, kawasan kita adalah luas, kita perlu mungkin 20 atau 30,000 menara, kita perlukan optik fiber untuk menghubung antara Semenanjung Malaysia dengan Sabah dan Sarawak serta setiap kawasan luar bandar selain infrastruktur lain”.

Beliau berkata, itu cabaran yang perlu dihadapi Malaysia sebelum ia menjadi negara pintar.

“Tetapi pada masa yang sama, kita perlu mula memiliki pemikiran sedemikian pada semua kawasan yang dibubungkan seperti pusat bandar raya dan sebagainya.

“Andaian gaya hidup digital secara kecil perlu dijelaskan terlebih dahulu oleh semua pihak yang berkepentingan termasuk kerajaan dan pemain industri,” tambahnya.

CommunicAsia2015 diadakan serentak dengan EnterpriseIT2015 dan BroadcastAsia2015, iaitu acara rangkaian perniagaan terbesar dan menyeluruh Asia bagi industri ICT global.

Meliputi pusat konvensyen setinggi lima tingkat, acara itu mengumpul lebih 1,800 pempamer daripada 56 negara dan rantau yang mempamerkan pelbagai jenis teknologi pintar bagi membolehkan perhubungan bandar raya, kerajaan, perusahaan dan pelanggan.

Terdapat sejumlah 35 pavilion antarabangsa termasuk Malaysia serta kumpulan baharu dari China, Norway, Romania, Korea Selatan dan Vietnam. – Bernama

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");