Berita Hari Ini

Malaysia miliki 537 pensyarah universiti terkemuka

KUALA LUMPUR – Sejumlah 537 pensyarah yang berkhidmat di universiti awam di negara ini berkelulusan Ijazah Sarjana dan Doktor Falsafah daripada 20 universiti terkemuka dunia.

Menteri Pendidikan Kedua Datuk Seri Idris Jusoh berkata, ini menjadikan sistem pendidikan tinggi negara semakin hebat dengan kepakaran tenaga pengajar tempatan yang berkebolehan.

“Kualiti sistem pendidikan tinggi negara hari ini semakin baik dan oleh sebab itu, ibu bapa janganlah takut untuk menghantar anak-anak ke universiti awam kerana kita memiliki pensyarah yang hebat,” katanya dalam ucapan pada majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur di sini hari ini.

Antara 20 universiti dunia itu termasuk Harvard University dengan 14 alumni, Oxford University (71), University of Cambridge (101), Imperial College London (93) dan University College London (54).

Pada majlis itu, sebanyak 1,602 individu menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang atas komitmen dan kualiti perkhidmatan mereka sepanjang tahun lalu.

Sementara itu, dalam sidang media selepas majlis itu, Idris berkata kementerian sedang mencari penyelesaian bagi membantu masalah pertukaran guru terutamanya di kawasan yang mendapat permintaan tinggi seperti di Kelantan, Terengganu dan Kedah.

Katanya sistem lampu isyarat yang diperkenalkan adalah kaedah terbaik setakat ini namun masih terdapat beberapa perkara yang perlu diselesaikan.

“Dari segi teknologi (sistem) kita dah ada tapi masalah lain yang perlu diberi perhatian termasuk bagaimana nak bantu suami isteri yang terpisah (disebabkan masalah pertukaran) kerana kekosongan penempatan perlu ada untuk berbuat demikian,” katanya.

Sistem lampu isyarat yang diumumkan Ahad lepas membolehkan keputusan permohonan guru untuk bertukar ke negeri pilihan mereka dibuat berdasarkan satu kekosongan bagi satu opsyen.

Permohonan dilayan sekiranya ada kekosongan mengikut opsyen dan kekosongan yang terdapat di negeri-negeri dipaparkan secara dalam talian menerusi laman web kementerian. -Bernama

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");