Tengku Mahkota Pahang Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah dan Tengku Puan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan melawat lapan unit rumah yang siap dibina untuk lapan keluarga mangsa banjir Kampung Aur GadingOleh Salwa Shaari
KUALA LIPIS: Selama enam bulan, Zalmah Sani dan lima anaknya menjadikan garaj kereta sebagai tempat berteduh, selepas rumah mereka di Kampung Aur Gading di sini, dihanyutkan banjir pada awal tahun ini.
Berpanas pada waktu siang dan tidur dalam keadaan berdebu semakin ‘sebati’ dengan jiwa mereka, menyebabkan ibu tunggal berusia 47 tahun itu seakan-akan tidak percaya bahawa mereka akan mendiami sebuah rumah baharu, yang lebih selesa berbanding rumah asal dahulu.
Tengku Mahkota Pahang Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah berkenan bersalaman dengan salah seorang mangsa banjir Saifulnizam Latih,31
Lebih manis, Zalmah dan anak-anaknya Nurul Mazlina Man Mazelan, 28; Mohd Sahrudin, 26, Nurul Masidah, 24, Nor Farah Asyikin, 18, dan Nor Ain Ezatul, 14, akan berpindah ke rumah tiga bilik itu hari ini, yang membolehkan mereka menyambut Aidilfitri di rumah sendiri.
“Saya bersyukur sangat kerana diberikan rezeki ini. Sejak dilanda banjir, ramai yang ambil berat,” ketanya kepada pemberita selepas Majlis Berbuka Puasa dan Penyerahan Kunci Rumah Mangsa Banjir Kampung Aur Gading di Masjid Kampung Chegar Perah di sini, malam tadi.
Zalmah merupakan seorang daripada lapan penerima kunci rumah berkenaan yang disempurnakan Tengku Mahkota Pahang Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah.
Turut hadir, Tengku Puan Pahang Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah dan Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob.
Sementara itu, bagi Hairi Irwan Abd Malik, 34, dan isteri Nor Azizah Raamli, 29, memyifatkan rumah baharu itu sebagai ‘hadiah Aidilfitri’ berkat kesabaran dan reda dengan musibah yang melanda sebelum ini.
“Saya menumpang di rumah seorang penduduk kampung dan beliau tidak mengambil sewa. Ada masanya saya berasa malu dengan kebaikan tuan rumah. Jadi kami berharap dapat berpindah segera agar tidak lagi menyusahkan orang,” katanya.
Hairi Irwan yang bekerja sendiri juga memberitahu beliau dan isteri sering membawa anak-anak mereka iaitu Haikal Ibtisam, 10, Harith Darwish, 8, dan Hazim Azfar Ukhael, 4, meninjau proses pembinaan rumah itu sebelum ini.
Bagi suri rumah Suriati Mohd Ramli, 37, beliau tidak sabar untuk memulakan kehidupan keluarganya di rumah baharu, selepas terpaksa menumpang di rumah bapanya, yang turut didiami tiga keluarga adik-beradiknya.
Beliau dan suami Jamil Abdul Rafar, 51, juga menyifatkan rumah itu sebagai ‘rezeki bayi’ kerana beliau kini sarat mengandung lapan bulan anak ketiganya.
“Anak Nor Azizah, 17, dan Mohd Fakhrul Ikhwan, 12, yang paling gembira apabila diberitahu tentang pemberian rumah ini. Mereka sudah agak dewasa, maka lebih suka jika ada ruang peribadi sendiri,” katanya.
Sementara itu Tengku Abdullah yang turut berkenan melawat rumah baharu itu bertitah baginda bersyukur kerana rumah itu dapat disiapkan bagi membantu mereka yang diuji pada musim banjir lalu.
“Rumah ini menunjukkan komitmen di bawah pimpinan Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) dan menteri besar Pahang (Adnan) yang sering memberi keutamaan kepada kebajikan rakyat. Cuma kita perlu bersabar,” titah baginda.
– BERNAMA