BALIK PULAU – Seorang lelaki ditemui mati dipercayai terjatuh dari sebuah pangsapuri di Taman Iping, Batu Maung, dekat sini, awal pagi semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 4.45 pagi itu, mangsa, Goh Keon Choon ditemui berlumuran darah di bahagian bawah pangsapuri oleh penduduk kawasan berkenaan.
Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan Lai Fah Hin berkata, orang awam yang melihat kejadian itu menghubungi talian kecemasan bagi memaklumkan kejadian.
Menurutnya, pasukan perubatan yang tiba di lokasi kejadian tidak lama kemudian mengesahkan mangsa yang berusia 52 tahun itu tidak lagi bernyawa.
“Siasatan polis di tempat kejadian mendapati mangsa mengalami kecederaan parah akibat terjatuh dari tempat tinggi.
“Siasatan juga mendapati tiada unsur jenayah yang berlaku,” katanya ketika dihubungi, semalam.
Fah Hin berkata, mayat mangsa dibawa ke Hospital Balik Pulau untuk bedah siasat dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.
-Sinar Harian