SETIU – Seorang pembantu makmal maut selepas motosikal yang ditungganginya dirempuh sebuah pacuan empat roda di kilometer 60 Jalan Kuala Terengganu-Kota Bharu berhampiran Balai Polis Chalok di sini pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 7.15 pagi itu mengakibatkan mangsa, Mohamad Fairus Othman, 37, maut di tempat kejadian selepas mengalami kecederaan parah pada bahagian kepala.
Ketua Polis Daerah Setiu Deputi Superintendan, Ab Rahman Raja Mohamed berkata insiden itu dipercayai berlaku selepas Toyota Hilux yang dipandu seorang pengurus ladang yang berusia 51 tahun terbabas ke kanan jalan lalu merempuh motosikal mangsa yang datang dari arah bertentangan.
“Susulan kejadian itu pacuan empat roda berkenaan telah berpusing beberapa kali dan ketika kejadian hujan renyai dan jalan berbukit serta berselekoh,” katanya ketika dihubungi Bernama.
Katanya mayat mangsa yang bertugas di Sekolah Menengah Kebangsaan Putera Jaya dihantar ke Hospital Setiu untuk dibedah siasat. – Bernama