Jenayah

Menangis ketika didakwa sebabkan kematian polis

KUALA LUMPUR – Seorang lelaki gagal menahan sebak hingga menangis teresak-esak ketika dihadapkan di Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan cuba menyebabkan kematian seorang pegawai polis, tiga tahun lalu.

Roshidi Osman, 35, seorang penjual bunga mula menangis selepas membuat pengakuan tidak bersalah di hadapan Hakim Zanol Rashid Husain.

Dia didakwa bersama seorang lagi yang masih bebas cuba menyebabkan kematian ketika memandu kereta jenis Honda dan melanggar motosikal yang dinaiki Lans Koperal Mohd Aziemi Yacop di Jalan 14/26 Taman Sri Rampai, Wangsa Maju, Sentul di sini, pukul 2.30 petang, 13 Jan 2012.

Dia yang tidak diwakili peguam didakwa mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun dan boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan.

Isteri dan seorang anak lelaki Roshidi turut menangis ketika prosiding tersebut hingga menarik perhatian orang ramai yang berada dalam mahkamah dan dalam tangisan, Roshidi merayu agar mahkamah membenarkannya diikat jamin dengan alasan perlu menanggung keluarga termasuk empat orang anak dan ibu yang uzur.

Timbalan Pendakwa Raya Nurul Hafizah Kamaludin tidak menawarkan sebarang jaminan kerana Roshidi didakwa melanggar seorang pegawai polis dan menyebabkan kecederaan selain motosikal yang dinaiki mangsa rosak teruk.

Hakim Zanol membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 29 Julai untuk sebutan semula kes. – Bernama

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");