Laporan Eksklusif

Najib Garis Lima Falsafah Kerajaan Untuk RMK11

PUTRAJAYA: Datuk Seri Najib Tun Razak menggariskan lima falsafah kerajaan untuk Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11) iaitu kerajaan yang propertumbuhan, prorakyat, properniagaan, mesra alam sekitar dan menekankan proses pembinaan negara.

Perdana Menteri ketika menggariskannya pada perhimpunan bulanan Jabatan Perdana Menteri (JPM) di sini hari ini berkata sebagai kerajaan dan pegawai pentadbiran, RMK11, iaitu rancangan pembangunan antara 2016 dan 2020, perlu menjadi fokus utama.

“RMK11 merupakan satu lonjakan atau pun pusingan terakhir sebelum memasuki gelangang untuk mencapai status negara berpendapatan tinggi.

“Kita jangan membiarkan apa-apa perkara lain menarik perhatian kita, mengesampingkan perhatian kepada agenda utama negara,” katanya.

Menghuraikan falsafah kerajaan propertumbuhan, Najib yang juga Menteri Kewangan berkata kerajaan perlu melaksanakan dasar-dasar yang membawa kadar pertumbuhan tinggi dan sederhana.

“Kalau kita tidak ada kadar pertumbuhan, kita akan menghadapi banyak masalah kesukaran, kita akan kekurangan hasil, peluang pekerjaan dan pelaburan.

“Ini amat sukar bagi kita mengagihkan kekayaan negara supaya ia lebih seimbang dari segi kumpulan etnik. Kita mesti propertumbuhan,” katanya.

Bagi teras kerajaan prorakyat, Najib berkata kerajaan perlu mencapai kadar pertumbuhan yang baik dan memberangsangkan agar dapat mengagihkan kekayaan kepada rakyat.

“Kita mesti merupakan sebuah kerajaan prorakyat dalam erti kata lain ekonomi keperluan rakyat. Itulah kita mesti laksanakan dari segi pengagihan kumpulan berpendapatan 40 peratus ke bawah (B40), menaikkan pendapatan isi rumah, menentukan kemahiran dan pendidikan yang lebih tinggi dan menangani kos sara hidup.
“Inilah sebuah kerajaan yang prihatin kepada ekonomi keperluan rakyat,” katanya.Menerangkan objektif ketiga, Najib berkata Malaysia perlu menjadi sebuah kerajaan properniagaan dengan memperkasakan ekonomi negara.

Beliau berkata peranan sektor swasta, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan badan-badan korporat perlu menjadi pemandu ekonomi.

“Kalau ada keputusan yang boleh membuat sektor swasta dan GLC bergerak lebih pantas dan maju bagi menambahkan pelaburan dan memudahkan mereka membuat keputusan berkaitan perniagaan, kita patut melakukan.

“Bukan kita menjadi halangan atau meletak rintangan tetapi kita membantu mewujudkan sistem ekonomi yang properniagaan kerana perniagaan yang maju, (menambah) pelaburan, peluang pekerjaan dan penjanaan kekayaan menjadi lebih nyata,” katanya.

Mengenai falsafah keempat, Najib berkata kerajaan mestilah mesra alam sekitar dan pembangunan lestari.

“Pada akhir tahun lepas, banjir besar yang melanda sebahagian daripada negara kita dan ia satu pengajaran besar bagi kita. Kalau kita tidak menjaga alam sekitar, maka akhirnya kita akan dihukum,” katanya.

Selain faktor ekonomi dan alam sekitar, Najib berkata kerajaan juga perlu menekankan proses pembinaan negara yang mana proses itu masih belum selesai.

“Kita mesti merupakan kerajaan mengamalkan dasar-dasar pada pengukuhan perpaduan dan solidariti antara kaum dan agama.

“Semua ini adalah berpaksikan kepada kefahaman falsafah sederhana dan wasatiyyah dan berteraskan prinsip satu Malaysia.

“Ini adalah teras secara mudah kepada lima tahun yang akan datang untuk negara Malaysia yang tercinta,” katanya.

Najib juga berharap perkhidmatan awam ditingkatkan bagi mendokong segala impian dan aspirasi negara.

“Sudah ada kemajuan dan pencapaian dan masih ada ruang untuk terus meningkatkan pentadbiran awam bagi merealisasikan impian dan cita-cita negara,” katanya.

Najib turut mengambil kesempatan mengucapkan Selamat Hari Kaamatan dan Hari Gawai kepada warga perkhidmatan awam yang menyambutnya.– Bernama

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");