Berita Hari Ini

OIC sedia bantu Malaysia tangani krisis Rohingya

KUALA LUMPUR – Beberapa negara anggota Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) menyatakan komitmen untuk memberi bantuan kepada Malaysia untuk pengurusan bantuan kemanusiaan kepada pendatang etnik Rohingya.

Timbalan Menteri Luar, Datuk Hamzah Zainuddin berkata, usaha dan bantuan yang dihulurkan Malaysia dalam menangani isu Rohingya telah diiktiraf dan dipuji oleh negara anggota OIC.

“Dalam hal ini beberapa negara anggota seperti Kuwait, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Turki dan Arab Saudi menyatakan komitmen mereka untuk beri bantuan kewangan dalam tempoh setahun pendatang Rohingya berada di penempatan sementara sebelum dihantar pulang.

“Dari segi jumlah kos masih belum dimuktamadkan lagi, akan dimaklum kemudian,” katanya pada Dewan Negara ketika menjawab soalan Senator Tan Sri Abdul Rahim Abdul Rahman.
Abdul Rahim meminta kerajaan menjelaskan peranan OIC dalam menangani isu pelarian Rohingya.

Menurut Hamzah, menerusi platform OIC Malaysia memainkan peranan aktif membawa isu Rohingya dalam setiap mesyuarat pertubuhan itu.

“Semasa Mesyuarat Sesi ke-42 Majlis Menteri-Menteri Luar Negeri OIC di Kuwait pada 27 dan 28 Mei lalu, negara anggota telah menyokong dan menerima pakai resolusi berkaitan situasi etnik Rohingya di Myanmar.

“Resolusi itu, antaranya, menzahirkan keprihatinan semua anggota OIC terhadap krisis yang melanda etnik berkenaan dan menggesa kerajaan Myanmar mengambil tindakan konkrit dengan segera bagi menangani permasalahan itu,” katanya.

Beliau berkata, pada mesyuarat tersebut juga, Malaysia menggesa masyarakat antarabangsa, termasuk OIC, menghulurkan bantuan kepada negara-negara yang menyediakan penempatan sementara kepada pelarian Rohingya.

“Kita juga menggesa agar mereka terus berunding dan mengambil inisiatif untuk menerima dan menyediakan penempatan kekal untuk pelarian Rohingya sebagaimana langkah yang diambil kerajaan Gambia,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Malaysia sebagai Pengerusi Asean bakal mempengerusikan mesyuarat tergempar menteri-menteri Asean mengenai Jenayah Rentas Sempadan (AMMTC) pada 2 Julai ini di Kuala Lumpur bagi membincangkan isu ini secara komprehensif serta mencari jalan penyelesaian menangani krisis kemanusiaan pendatang tanpa izin di Teluk Bengal dan Laut Andaman.-sinar harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");