Jenayah

Pancing udang dapat mayat

PARIT BUNTAR – Mayat seorang wanita yang hilang Jumaat lalu selepas dipercayai terjun ke dalam Sungai Kerian ditemui tersangkut pada mata kail seorang pemancing di Jambatan Transkrian, Universiti Sains Malaysia (USM), Nibong Tebal, awal pagi semalam.

Pemancing terbabit berkata, ketika kejadian dia bersama beberapa rakan sedang memancing udang galah di kawasan tersebut.

“Bagaimanapun, tiba-tiba saya berasa pelik apabila mata kail yang digunakan tersangkut pada satu objek berat di bawah jambatan itu.

“Ketika cuba membuka mata kail itu saya terkejut apabila melihat mayat manusia tersangkut dan tanpa membuang masa saya terus menghubungi bomba untuk memaklumkan mengenai penemuan tersebut,” katanya.

Sementara itu, Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Parit Buntar, Muhammad Nor Amin Abd Mubin berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung penemuan mayat wanita itu daripada Bomba Nibong Tebal pada jam 3.50 pagi.

Menurutnya, sejurus menerima panggilan, pihaknya bergegas ke lokasi kejadian untuk menjalankan operasi mengeluarkan mangsa terbabit dengan dibantu anggota dari Bomba Nibong Tebal.

“Sejak mangsa dilaporkan hilang, kami dengan bantuan beberapa agensi keselamatan telah memperluaskan kawasan mencari sehingga ke Sungai Udang, Nibong Tebal.

“Selepas dua hari operasi mencari dilakukan, akhirnya pihak kami dimaklumkan dengan penemuan mayat wanita itu oleh orang awam kira-kira tiga kilometer dari lokasi mangsa dilaporkan hilang,” katanya.

Beliau berkata, mayat wanita itu kemudiannya diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

Sementara itu, sumber polis yang ditemui mengesahkan mayat wanita yang ditemui adalah individu sama yang dilaporkan hilang dua hari lalu.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");