Berita Hari Ini

Patuhi peraturan sijil halal

IPOH – Jabatan Agama Islam Perak (Jaipk) tegas dalam memastikan setiap hotel di negeri ini mematuhi peraturan dengan mendapatkan Pensijilan Halal Malaysia sebelum menawarkan bufet Ramadan kepada pelanggan yang beragama Islam.

Pengarah Jaipk, Datuk Mohd Yusop Husin berkata, pihaknya tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan ke atas hotel yang gagal mengikut syarat yang telah ditetapkan itu.

Menurutnya, jika terdapat hotel yang menawarkan bufet Ramadan tanpa mempamerkan sijil halal yang dikeluarkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), mereka boleh dikenakan denda sehingga RM1 juta jika sabit kesalahan.

“Kita akan menjalankan pemantauan bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) dan tindakan tegas akan dikenakan.

“Sekiranya kita menerima aduan mengenai perkara tersebut, mereka tidak akan terlepas daripada tindakan undang-undang mengikut Akta Perihal Dagangan.

“Berikutan itu, hotel yang belum memohon sijil halal atau memang tidak mempunyai dokumen tersebut disaran tidak menawarkan bufet Ramadan,” katanya kepada media, semalam.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau menasihatkan umat Islam supaya lebih berhati-hati ketika memilih lokasi jika ingin berbuka puasa atau bersahur di luar.

“Jika terdapat kekeliruan, mereka boleh merujuk kepada Jaipk atau melayari portal My EHalal untuk menyemak status premis yang menawarkan bufet Ramadan sama ada mempunyai Pensijilan Halal Malaysia atau sebaliknya,” jelasnya.

Sementara itu, mengulas berhubung operasi membabitkan individu tidak berpuasa, Mohd Yusop berkata, penguat kuasa Jaipk telah digerakkan ke seluruh negeri bagi memantau individu yang didapati tidak berpuasa serta makan di khalayak ramai.

“Jika terdapat individu yang ditahan kerana melakukan kesalahan tersebut, dia boleh dikenakan denda RM1,000 atau penjara selama enam bulan,” katanya.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");