Jenayah

Pelajar dibelasah kerana mengantuk

BUKIT PINANG – Gara-gara gagal membaca al-Quran kerana mengantuk, seorang pelajar mendakwa dibelasah oleh pengawas hingga menyebabkannya trauma untuk belajar di sebuah sekolah berasrama di Kubang Pasu.

Dalam kejadian pagi 24 April lalu, Mohd Danial, 13, (bukan nama sebenar) dikatakan gagal membaca al-Quran dan dipanggil keluar surau sebelum ditendang serta ditampar beberapa kali oleh pengawas asrama sekolah itu.

Menurutnya, semasa dipukul, dia tidak berani melawan kerana terdapat 10 pelajar lain mengelilinginya.

“Ketika itu, saya hanya mendiamkan diri walaupun dicabar oleh pengawas itu supaya berlawan dengan dia kerana saya adalah pelajar yang mewakili sukan tekwando peringkat kebangsaan.

“Bagaimanapun saya enggan berlawan kerana takut dikenakan tindakan disiplin oleh pihak sekolah,” katanya semasa ditemui di rumahnya di Kampung Lengkuas dekat sini, semalam.

Akibat kejadian itu, Mohd Danial mendakwa telinganya sakit.

Mohd Danial berkata, kejadian itu tidak berakhir di situ kerana pada waktu malam hari sama, dia dipanggil oleh pelajar tingkatan lima dan ditampar hingga pipinya merah.

“Selepas itu, saya menghubungi ibu dan bapa saya supaya datang ke sekolah untuk menceritakan kejadian ini,” katanya.

Katanya, selepas menceritakan kejadian itu, dia mengikut ibu dan bapanya pulang ke rumah.

Dalam pada itu, ibunya, Haslina (bukan nama sebenar), 46, berkata, kerana takut dibuli lagi, anaknya tidak pergi sekolah.

Menurutnya, akibat kejadian itu anaknya pula menerima surat amaran terakhir dengan alasan tidak datang ke sekolah daripada pihak sekolah.

“Saya sangat kesal dengan tindakan pihak sekolah kerana sebelum membawanya pulang saya ada berjumpa dengan warden sekolah dan beliau mengizinkan anak saya pulang.

“Bagaimanapun saya agak terkejut apabila menerima surat itu dan ini menunjukkan pihak berkenaan langsung tidak mengambil berat mengenai masalah dialami anak saya,” katanya.

Katanya, anaknya bukan suka-suka mahu ponteng sekolah tetapi dia masih trauma selepas dipukul.

“Oleh itu, saya berharap pihak pengurusan sekolah mempertimbangkan masalah itu sebaiknya,” katanya yang membuat laporan di Balai Polis Bukit Kayu Hitam.

Sementara itu, Ketua Polis Kubang Pasu, Superintendan Abd Rahim Abdullah ketika dihubungi berkata, mangsa tidak dipukul dan tidak mengalami kecederaan sebaliknya hanya trauma akibat dibuli.

“Kes ini sudah dirujuk kepada pihak sekolah dan pejabat pendidikan daerah. Kes ini juga tiada siasatan lanjut polis,” katanya.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");