Berita Hari Ini

Pelawa SPRM sertai JKPT

KUANTAN – Dalam usaha untuk memastikan proses pengeluaran lesen pendudukan sementara (TOL) lebih telus, kerajaan negeri berhasrat mempelawa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk turut serta dalam Jawatankuasa Pentadbiran Tanah (JKPT) Cameron Highlands.

Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob berkata, dengan adanya pembabitan SPRM maka dapat membantu menyelesaikan masalah yang dijalankan sekali gus mengelakkan persepsi masyarakat terhadap pemberian TOL khususnya kepada pekebun sayur yang mengusahakan tanah secara kecil-kecilan di kawasan tanah tinggi tersebut.

“Sebelum ini laporan (media) banyak memperlihatkan seolah-olah penerokaan tanah di Cameron Highlands terlalu berleluasa sekali gus menunjukkan bahawa kerajaan negeri seolah-olah menggalakkan aktiviti tersebut yang menyalahi undang-undang.

“Perkara seumpama ini sudah pasti memberikan persepsi negatif masyarakat kepada kerajaan negeri yang mana sebagai kerajaan perlu bertanggungjawab dan menjaga kepentingan pekebun kecil yang sudah mengusahakan tanah mereka sejak berpuluh tahun dahulu.

“Mereka ini kita akan berikan TOL… saya akan kemukakan dalam mesyuarat EXCO minggu depan mengenai cadangan meletakkan pegawai SPRM bersama jawatankuasa tersebut.

Beliau berkata dalam satu sidang media selepas merasmikan Majlis Penyampaian Biasiswa Kecemerlangan Menteri Besar (BKMB) dan Hadiah Kecemerlangan Pelajar (HKP) di Kompleks Yayasan Pahang, semalam.

Turut hadir Pengurus Besar Yayasan Pahang, Mahmud Mohd Nawawi.

Dalam pada itu, katanya, kerajaan negeri akan menyelesaikan masalah isu pencerobohan tanah di Cameron Highlands secepat mungkin memandangkan ia sebenarnya dilakukan oleh kumpulan sindiket besar.

“Masalah pencerobohan tanah… penerokaan tanah di sana dilakukan sindiket besar. Mana boleh pekebun kecil menarah bukit untuk menjalankan aktiviti pertanian mereka.

“Perkara ini sudah kita maklumkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak Tun Razak dan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Kita akan pastikan sindiket ini menerima hukuman setimpal dan bukan terpaksa ditanggung pekebun kecil dan kerajaan negeri sahaja,” katanya.

Sementara itu, dalam majlis tersebut seramai 146 pelajar menerima HKP, manakala lima lagi menerima BKMB bagi membolehkan mereka meneruskan pengajian sehingga ke peringkat sarjana sama ada di dalam mahupun di luar negara.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");