Jenayah

Pencuri besi menyamar kontraktor

SEREMBAN – Dua lelaki menyamar sebagai kontraktor projek pembinaan bangunan Sekolah Jenis Kebangsaan (Cina) Kuo Min di Jalan Templer, di sini, semalam untuk mencuri besi.

Bagaimanapun, tindakannya dapat dihidu pegawai keselamatan sekolah terbabit yang segera bertindak.

Dalam kejadian kira-kira 7.40 pagi itu, kedua-dua lelaki itu memasuki tapak projek dengan menaiki sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Mitsubishi Storm.

Meragui kehadirannya, pengawal keselamatan sekolah tersebut segera menghubungi wakil komuniti sekolah memaklumkannya sebelum mendapat tahu, kedua-dua mereka menyamar.

Wakil komuniti sekolah, Tan Yong Siong berkata, dia bergegas ke lokasi sejurus dimaklumkan pengawal keselamatan berkenaan.

“Sebaik sampai, saya dapati suspek sedang memasukkan besi perancah ke dalam Mitsubishi Storm mereka.

“Saya tanya mereka, mahu buat apa? Dia beri alasan tersalah tempat. Ketika cuba meletakkan semula besi diambilnya, seorang daripada mereka mengambil parang di belakang kereta,” katanya.

Bimbang diserang, Yong Siong masuk ke dalam keretanya dan bertindak menghalang kereta kedua-dua lelaki itu.

Menurutnya, kedua-dua lelaki itu panik, lantas merempuh keretanya sebelum kedua-duanya bertindak keluar dari kenderaan dan berlari menyelamatkan diri.

“Ketika itu sudah ramai datang melihat kejadian. Pada masa itu, saya menghubungi anggota Rela dan polis untuk mendapatkan bantuan,” katanya di sini, semalam.

Yong Siong, salah seorang suspek berusia 50-an yang berlari ke arah sebuah stesyen minyak di situ dicekup anggota Rela ketika cuba menaiki teksi.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Seremban, Superintendan Abdul Rahim Daud berkata, hasil siasatan mendapati, lelaki berusia 50-an itu mempunyai 10 rekod kesalahan lampau berkaitan dadah dan jenayah curi.

“Kita sedang mengesan seorang lagi rakannya yang melarikan diri. Kenderaan suspek juga dirampas,” katanya.

-Sinar harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");