IPOH: Peniaga atau penjaja kecil yang telah membuat pinjaman Skim Mikro-i Bazar Ramadhan (SBR) untuk melakukan perniagaan sempena bulan Ramadhan dinasihatkan untuk melunaskannya.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Pengguna, Sumber Manusia dan Masyarakat Sivil negeri, Datuk Samsudin Abu Hassan berkata, peminjam mesti mempunyai etika dan bertanggungjawab untuk melunaskan pembayaran peminjaman itu yang mana ianya boleh digunakan untuk peniaga lain.
Beliau berkata, hanya 40 peratus daripada jumlah keseluruhan pinjaman pembiayaan SBR pada tahun 2014 berjaya dikutip semula daripada peminjam.
“Pada tahun lalu, kita dapat permohonan sebanyak 489 yang telah diluluskan yang mana amaunnya adalah sebanyak RM1,437,000.
“Apa yang mendukacitakan adalah hanya 40 peratus kutipan dengan amaun berjumlah RM574,800 yang dapat kita kutip daripada masa yang telah ditentukan sehinggalah tempoh lanjutan yang telah kita berikan.
“Manakala jumlah yang tidak dapat dikutip semula adalah berjumlah RM892,200,” ujarnya dalam sidang media, di sini, hari ini.
Tegasnya, tindakan tersebut telah memberi kesan kepada jumlah pinjaman yang telah diluluskan bagi tahun 2015.
“Permohonan pada kali ini agak berkurangan hanya 421 permohonan yang telah diluluskan yang melibatkan amaun sebanyak RM1,255,100,” jelasnya.
Beliau melahirkan kebimbangan sekiranya masalah yang sama seperti tahun lalu berlaku pada tahun ini sehingga mengakibatkan wang pusingan pinjaman untuk SBR bagi tahun 2016 akan terjejas.
Tambahnya, meskipun Kerajaan prihatin dengan rakyat, rakyat juga boleh memberikan kerjasama yang sebaiknya untuk melunaskan pinjaman berkenaan.
“Oleh sebab itu, saya merayu dengan kepada semua 421 peminjam SBR bagi tahun ini, jelaskan bayaran dalam tempoh yang ditetapkan dari semasa ke semasa untuk digunakan balik sebagai pusingan untuk SBR akan datang.
“Sekiranya mereka enggan, ini akan memberi kesan kepada tabung pembiayaan Mikro-i Bazar Ramadhan, bukan sahaja kepada negara, malah kepada negeri Perak,” tegas beliau lagi.
Beliau turut berkata bahawa, mana-mana peniaga atau penjaja yang tidak mahu melunaskan pinjaman tersebut juga tidak akan diberi pinjaman semula pada tahun berikutnya.
“Mereka akan disenarai hitamkan dan tidak akan diberikan pinjaman lain sehingga pinjaman berkenaan dijelaskan,” ujar Samsudin lagi.
Sementara itu, beliau turut menggalakkan agar peniaga dan penjaja untuk menyertai persatuan penjaja dan peniaga yang sah di negara ini.
“Ini adalah untuk memudahkan persatuan ini memantau dan juga menyelaras ahli-ahli atau peniaga kecil ini sama ada mereka menjalankan perniagaan sebenar ataupun tidak.
“Ia juga memudahkan untuk persatuan bersama-sama membuat tuntutan balik dalam membantu pihak bank dalam menyelesaikan masalah kutipan balik pinjaman yang dibuat oleh peniaga.
Terdahulu, Samsudin turut menyerahkan SBR kepada 24 orang peniaga yang telah berdaftar dengan Gabungan Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu Malaysia (GPPPKMM)
Ia adalah sebahagian daripada 421 permohonan yang telah diluluskan oleh Bank Rakyat Perak dengan melibatkan peruntukan berjumlah RM1,255,100.
Pembiayaan tersebut melibatkan jumlah sehingga RM3,000 kepada setiap peniaga atau penjaja tanpa sebarang cagaran untuk digunakan sebagai modal dalam menjalankan perniagaan di Bazar Ramadhan.