Jenayah

Penjual nasi lemak dipenjara curi besi perancah

KUALA LUMPUR – Seorang peniaga nasi lemak dihukum penjara 10 bulan oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini kerana mencuri 11 batang kaki besi perancah milik Syarikat Pembinaan MRT Cheras.

Majistret Nur Azura Murah menjatuhkan hukuman itu ke atas Zulkifli Hamzah, 30, selepas tertuduh mengaku bersalah mencuri barangan tersebut yang kesemuanya bernilai RM220, dua hari lalu.

Mahkamah memerintahkan tertuduh menjalani hukuman itu bermula dari tarikh ditangkap pada 13 Jun.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Tapak Projek MRT Cheras, berhadapan Cheras Sentral, Lebuh Raya Cheras-Kajang, di sini pada 6.20 pagi, 13 Jun lepas mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan.

Ia membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya dan bagi kesalahan kedua atau yang kemudian boleh dihukum penjara atau dengan denda atau dengan sebat.

Mengikut fakta kes, ketika membuat rondaan, pengadu yang merupakan pengawal keselamatan di tapak projek itu melihat tertuduh memasukkan besi perancah ke dalam guni.

Ketika rayuan, tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon mahkamah menjatuhkan hukuman ringan dengan alasan isterinya sedang mengandung dan akan melahirkan anak dalam masa terdekat.

Timbalan Pendakwa Raya Ezrene Zakariah memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal bagi mengelakkan tertuduh mengulangi perbuatan itu kerana tertuduh pernah melakukan kesalahan di bawah seksyen yang sama pada 2004. – Bernama

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");