MUAR – Seorang lelaki maut dipercayai akibat lemas selepas motosikal ditungganginya terbabas memasuki parit di Parit Sharif berhampiran Kampung Parit Lanjut, Sungai Terap, di sini, kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira jam 7 malam itu, Mustapa Talib, 44, maut di tempat kejadian dan mayatnya ditemui sepasukan bomba dalam parit berkenaan yang dipenuhi air.
Timbalan Ketua Polis Daerah Muar, Superintendan Muhammad Hanif Othman berkata, kejadian dipercayai berlaku apabila motosikal mangsa cuba memintas kereta Toyota Corolla SE dari kiri jalan yang menghala ke Jorak dari Muar.
Malangnya, berlaku pergeseran antara dua kenderaan terbabit, sebelum masing-masing hilang kawalan, merempuh tiang elektrik dan terbabas ke dalam Parit Sharif.
“Pemandu kereta berkenaan iaitu warga Indonesia dikenali Murdani, 45, sempat diselamatkan orang ramai dan kini mendapatkan rawatan di Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF).
“Penunggang motosikal hilang di dalam parit itu sebelum ditemui pasukan bomba,” katanya.
Beliau berkata, mayat mangsa dihantar ke HPSF dan kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Sementara itu, Pegawai Bomba Kanan 2, Balai Bomba dan Penyelamat Muar, Shapiee Hashim berkata, seramai lapan anggota bersama satu jentera terlibat dalam operasi mencari mangsa yang hilang dalam parit itu.
Katanya, pihaknya mengambil masa hampir 50 minit untuk mencari dan menyelamat penunggang motosikal yang ditemui pada jam 7.57 malam dan operasi tamat jam 8.38 malam.
-Sinar Harian