Jenayah

Penyembelih ayam dijel 5 tahun

KOTA BHARU – Padah bersubahat menyebabkan kematian seorang peraih emas di Kampung Paloh Rawo, Machang, dua tahun lalu, seorang penyembelih ayam dijel lima tahun oleh mahkamah sesyen, di sini, semalam.

Tertuduh, Hambali Muhammad, 31, dihukum Hakim, Ahmad Bazli Bahruddin selepas mengaku salah bersubahat dengan dua rakannya, Syaiful Syahriman Mustapa, 31, dan Mohd Asrul Zulkipli, 26, menyebabkan kematian Tuan Faridah Tuan Losen, 62, di kawasan semak tebing kampung itu, pada jam 12.45 tengah hari, 22 Disember 2013.

Pada prosiding itu, tertuduh yang diwakili peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kelantan memohon mahkamah menjatuhkan hukuman ringan dengan alasan penglibatan tertuduh dalam jenayah itu terlalu minimum dan bersifat pasit.

Rayuan itu bagaimanapun tidak dipersetujui Timbalan Pendakwa Raya negeri, Mariah Omar yang memberi hujah perlakuan subahat tertuduh menyebabkan kehilangan satu nyawa yang sudah tentunya memberi kesan kepada keluarga si mati.

“Saya mohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal dengan mengambil kira kepentingan awam melebihi kepentingan diri tertuduh dan sebagai pengajaran kepada dirinya sendiri serta orang lain,” katanya.

Dalam kejadian lalu, tertuduh yang sedang memandu kereta seorang rakannya menerima panggilan telefon Syaiful yang mengatakan mahu meminjam kereta. Ketika itu Mohd Asrul bersama anak yang masih kecil ada di dalam kereta tersebut.

Tertuduh mengambil Syaiful di rumah dan diajak ke bandar Machang untuk berjumpa dengan si mati bagi menjual seutas gelang emas. Syaiful mengajak si mati masuk ke dalam kereta dan duduk di sebelah Syaiful di bahagian penumpang belakang lalu mengarahkan tertuduh beredar dari situ.

Semasa dalam perjalanan si mati bertanyakan barangan yang hendak dijual dan Syaiful menunjukkan gelang tersebut sebelum si mati berkata gelang itu adalah ‘Zhulian’, bukan emas. Syaiful memarahi si mati dan menekup mulutnya. Kawan yang duduk di bahagian hadapan merebahkan kerusi menghimpit mangsa supaya tidak dapat bergerak.

Mangsa menjerit dan memekik-mekik. Syaiful mengarahkan tertuduh memandu ke tempat sunyi. Mangsa masih tidak diam dan tertuduh yang sedang memandu lihat dari cermin pandang belakang, Syaiful memegang dan mencekik leher mangsa dan bergelut dengan mangsa. Dalam masa sama Asrul mengeluarkan sepucuk pistol menyuruh mangsa diam dan ketika itu Syaiful masih mencekik leher mangsa.

Kemudian mangsa tiba-tiba tidak bersuara. Syaiful sekali lagi mengarahkan tertuduh memandu ke kawasan sunyi di tepi landasan kereta api dan kemudian berhenti di satu kawasan semak lalu Syaiful mengheret mayat mangsa dan ditinggalkan di situ.

Mayatnya dijumpai pasangan suami isteri yang sedang mencari pucuk beko di kawasan berkenaan. Syaiful sebelum ini dihukum penjara 15 tahun kerana menyebabkan kematian mangsa, manakala Asrul dijel selama enam tahun kerana memiliki pistol.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");