Perak Hari Ini

Persatuan Pengamal Media Perak (PPMP) Dilancarkan Hari Ini

IPOH: Persatuan Pengamal Media Perak (PPMP) hari ini telah dilancarkan dalam satu majlis yang berlangsung di Koloni Karyawan Aman Jaya (PORT) di sini pada Isnin.

Ia telah dilancarkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Sains, Persekitaran, dan Teknologi Hijau negeri, Datuk Dr Amin Zakaria.

Turut hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan dan Pengerusi Jawatankuasa Kemudahan Awam, Infrastruktur, Tenaga dan Air Negeri, Datuk Zainol Fadzi Paharuddin.

Amin dalam ucapannya berkata, sumbangan media Perak dalam melaporkan segala perkembangan yang berlaku di negeri itu amat dihargai oleh Kerajaan Negeri.

“Kerajaan Negeri mengucapkan ribuan terima kasih kepada rakan-rakan media yang selama ini telah memberikan kerjasama yang baik dalam melaporkan pembangunan yang berlaku di negeri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan perasmiannya di Majlis Pelancaran dan Majlis Berbuka Puasa Persatuan Pengamal Media Perak (PPMP) di sini.

Majlis berkenaan telah dianjurkan oleh PPMP dengan kerjasama Perbadanan Menteri Besar (MB Inc) dan juga PORT.

Dalam pada itu, beliau turut mengucapkan tahniah kepada PPMP kerana telah berjaya mendaftarkan persatuan tersebut menjadi satu persatuan yang sah disisi undang-undang.

“Ini menjadikan persatuan ini sah disisi undang-undang dan boleh menjalankan aktiviti seperti mana yang telah digariskan dalam perlembagaan tersebut,” ujar beliau lagi.

Beliau berharap agar dengan penubuhan persatuan tersebut dapat mengeratkan lagi hubungan antara pengamal media dengan Kerajaan Negeri disamping dapat menyampaikan maklumat kepada rakyat mengenai kemajuan yang berlaku di negeri Perak.

Sementara itu, menurut Pengerusi persatuan tersebut, Sayed Hesham Syed Idris, PPMP telah diwujudkan bagi menjaga kebajikan pengamal media di Perak.

Ujarnya, ia secara tidak langsung dapat mengeratkan lagi hubungan di kalangan pengamal media selain menjadi medium untuk berkongsi pendapat serta masalah.

Dalam pada itu, beliau turut mengumumkan pemberian bantuan kepada wartawan sambilan yang mengalami masalah kesihatan.

“Kita akan menyampaikan bantuan kepada dua wartawan sambilan yang mengalami masalah kesihatan yang serius.

“Jumlah bantuan masih belum lagi diputuskan dan ianya akan segera diberikan,” katanya.

Terdahulu, dalam majlis itu juga, Datuk Amin turut menyampaikan sumbangan hari raya yang disediakan oleh PPMP kepada 41 orang anak yatim dari Yayasan Amanah Annur Maisarah, Chemor yang turut hadir memeriahkan majlis berbuka puasa berkenaan.

Majlis itu juga turut dihadiri oleh semua pengamal media di Perak antaranya Utusan Malaysia, Berita Harian, Perak Today, Astro Awani, Perak News, RTM, Sinar Harian, TV3, TV9, New Straits Times (NST) dan beberapa media lain.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");