Berita Hari Ini

Plus tawar rebat sehingga 50 peratus

PLUS Malaysia Berhad (Plus) menawarkan rebat tol sehingga 50 peratus kepada orang ramai yang membayar tol secara elektronik di lebuh raya itu pada cuti perayaan Hari Raya Aidilfitri yang akan datang.

Pengarah Urusan Plus Malaysia Berhad, Noorizah Abd Hamid berkata, rebat tol tersebut ditawarkan kepada pengguna kenderaan Kelas 1 yang membayar tol secara elektronik pada hari-hari bukan puncak iaitu 13, 14, 15, 21, 22 dan 23 Julai bersempena dengan perayaan Hari Raya Aidilfitri.

“Ia boleh dinikmati oleh pengguna yang menggunakan lebuh raya untuk perjalanan jarak jauh iaitu melebihi 100 kilometer pada hari-hari tersebut,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut Noorizah, rebat tol sebanyak 50 peratus diberikan kepada orang ramai yang membayar tol secara elektronik menggunakan kad PLUSMiles, kad Touch ‘n Go atau SmartTAG pada 13 dan 23 Julai manakala rebat tol sebanyak 40 peratus pula diberikan untuk pembayaran tol secara elektronik pada 14 dan 22 Julai.

“Sementara itu, rebat tol 30 peratus pula diberikan kepada orang ramai membayar tol secara elektronik pada 15 dan 21 Julai akan datang,” kata kenyataan itu.

Tambahnya lagi, pemberian rebat tol ini adalah salah satu daripada strategi PLUS untuk mengagihkan trafik serta menggalakkan orang ramai bergerak pulang ke kampung sebelum Hari Raya Aidilfitri dan kembali ke bandar selepas berhari raya pada hari-hari bukan puncak.

“PLUS akan turut mengambil pelbagai langkah lain untuk membantu orang ramai menikmati perjalanan yang lebih selesa pada musim perayaan yang akan datang termasuklah mengeluarkan Jadual Cadangan Waktu Perjalanan (TTA) dan lain-lain lagi,” katanya.

-Bernama

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");