Jenayah

Port belakang tokong diserbu

MUAR – Tindakan berani lapan kaki judi tegar menjadikan belakang sebuah tokong Cina di Bukit Pasir, di sini sebagai ‘port’ baharu bermain judi mengundang padah apabila ditahan Jumaat lalu yang membabitkan rampasan melebihi RM220,000.

Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Azman Ayob berkata, kesemua mereka itu mempunyai 20 rekod lampau berkaitan kesalahan di bawah Seksyen 7(2) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan jenayah pada tahun 1983 hingga 1989.

Menurutnya, dalam serbuan kira-kira jam 4.30 petang oleh sepasukan polis Bahagian Siasatan Jenayah Bukit Aman dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar itu turut menahan sembilan kaki judi yang lain.

“Ketika serbuan, kesemua mereka sedang mengelilingi sebuah meja empat segi yang dipercayai sedang leka bermain judi jenis dadu.

“17 suspek yang ditahan itu terdiri daripada 12 lelaki berusia antara 49 hingga 63 tahun, empat perempuan (61 hingga 73 tahun) dan seorang wanita warganegara Vietnam berusia 27 tahun,” katanya dalam sidang media di IPD Muar, di sini semalam.

Beliau berkata, pemeriksaan di lokasi serbuan menemukan wang tunai berjumlah RM151,892, cip judi bernilai RM70,185 dan peralatan judi yang lain.

Katanya, tindakan ke atas suspek dilakukan hasil daripada maklumat orang awam dan intipan yang dilakukan selama dua hari di belakang tokong tersebut.

“Hasil siasatan mendapati suspek sering bertukar lokasi perjudian bagi mengelakkan kegiatan mereka dihidu pihak berkuasa.

“Kesemua suspek ditahan reman selama empat hari sehingga 2 Jun ini untuk membantu siasatan dan mereka juga negatif dadah berdasarkan ujian air kencing yang dilakukan ke atasnya,” katanya.

Azman berkata, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 7(2) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 yang boleh dikenakan denda tidak melebihi RM5,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya sekali.

Dalam pada itu, pihaknya sentiasa mengalu-alukan kerjasama orang ramai untuk menyalurkan sebarang maklumat berkaitan jenayah ataupun judi yang berlaku dalam kawasan berhampiran kediaman mereka.

Kata Azman lagi, ia sebagai usaha untuk mewujudkan suasana kediaman yang selamat dan kondusif kepada orang ramai.

-Sinar harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");