Jenayah

Premis hiburan curi air terawat

PORT DICKSON – Sebuah premis hiburan di Port Dickson diserbu Syarikat Air Negeri Sembilan Sdn Bhd (Sains) dan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) kelmarin, kerana disyaki mencuri bekalan air dengan membuat sambungan paip haram.

Serbuan dijalankan pada jam 12 tengahari itu, dilakukan sepasukan pegawai dan anggota SPAN bersama Unit Penguatkuasaan Sains dalam operasi diketuai Pegawai Bahagian Hal Ehwal Pengguna, Pengaduan dan Penguatkuasaan SPAN, Fadzil Othman.

Ketua Bahagian Perhubungan Awam Sains, Norzita Ismail berkata, ketika serbuan dilakukan, penguatkuasa mendapati penghuni premis berkenaan melakukan penyambungan tidak sah menggunakan paip mudah lentur bersaiz 16mm.

“Siasatan lanjut mendapati, air yang diperoleh daripada penyambungan tidak sah itu digunakan untuk aktiviti harian penghuni premis,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.

Menurutnya, pegawai penguatkuasa Sains telah menjalankan ujian klorin di lokasi berkenaan dan terbukti bekalan air digunakan adalah air terawat milik Sains.

“Sehubungan dengan itu, SPAN menyita paip mudah lentur tersebut sebagai bahan bukti.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 89(9) Akta Industri Perkhidmatan Air Negara 2006, memperuntukkan denda RM50,000.00 atau penjara tidak lebih 6 bulan atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Beliau berkata, Sains akan terus mempertingkatkan pemantauan serta penguatkuasaan bagi mencegah kegiatan curi air di seluruh Negeri sembilan tanpa mengira kes yang melibatkan pengguna komersil mahupun domestik.

“Tindakan tegas ini merupakan salah satu langkah berterusan dalam mengurangkan kadar kehilangan air tidak berhasil atau pun Non Revenue Water (NRW).

“Kami turut mengalu-alukan kerjasama daripada orang ramai supaya menyalurkan maklumat atau ingin melaporkan sebarang kes kecurian air dengan menghubungi talian bebas tol Sains 1-800-88-6982 dan identiti pemberi maklumat akan dirahsiakan,” katanya.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");