Jenayah

Rahsia mat rempit terbongkar

KEMAMAN – Rahsia sekumpulan geng mat rempit mencipta motosikal lumba menggunakan komponen motosikal curi terbongkar selepas bangsal mereka di Kampung Pengkalan Cicar di Kijal, diserbu polis awal pagi kelmarin.

Serbuan lebih kurang jam 2 pagi itu membawa kepada rampasan dua motosikal dan puluhan komponen kenderaan tersebut yang dipercayai dileraikan daripada 15 motosikal pelbagai jenis dengan keseluruhan nilai rampasan dianggarkan berjumlah RM5,000.

Sebelum puluhan komponen itu dirampas, seramai lapan lelaki berusia antara 19 dan 34 tahun yang juga penganggur dicekup.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kemaman, Deputi Superintendan Normansah Din berkata, kejayaan tangkapan dan rampasan itu susulan hasil Ops Bersepadu yang dilakukan semua bahagian Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kemaman bersama agensi kerajaan berikutan kejadian curi motosikal yang kian menjadi-jadi di daerah ini sejak dua bulan belakangan ini.

“Pada mulanya kita berjaya tahan seorang lelaki Melayu di Jalan Air Putih dan kita rampas sebuah motosikal serta komponen yang dipercayai dicuri.

“Hasil soal siasat suspek membawa kepada tangkapan tujuh lagi lelaki di Kampung Pengkalan Cicar dan kita berjaya temui tempat mereka simpan motosikal dan komponen curi dalam sebuah bangsal.

“Salah sebuah motosikal telah diubahsuai menjadi motosikal lumba,” katanya pada sidang media di IPD Kemaman, semalam.

Katanya, pada serbuan itu pelbagai alat pembuka motosikal termasuk yang menggunakan kuasa angin turut dirampas.

Salah guna kepintaran

Menurut Normansah, berdasarkan maklumat yang diterima, kesemua mereka yang ditangkap itu terlibat dengan kegiatan lumba motosikal haram di Jalan Air Putih.

“Kita percaya motosikal yang dicipta ini diguna untuk berlumba haram di sekitar Kemaman. Mereka punya kepintaran hingga mampu cipta motosikal lumba, tapi sayangnya kebolehan itu disalah guna untuk melakukan jenayah curi motosikal,” katanya kesal.

Kesemua suspek yang ditangkap itu juga didapati positif dadah selepas ujian air kencing dijalankan ke atas mereka.

Berdasarkan keputusan itu, beliau berkata, pihak polis percaya kebanyakan kes curi motosikal di daerah ini mempunyai kaitan dengan penagih dadah.

Katanya, kesemua suspek juga licik kerana bertindak mengikis nombor casis enjin motosikal yang telah dileraikan, namun ketika ini pihaknya mendapatkan bantuan dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen Terengganu untuk mengenal pasti nombor yang telah dikikis.

“Kesemua suspek kita tahan reman selama empat hari bermula hari ini (semalam) untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan kerana mencuri kenderaan bermotor,” katanya.

Tumpu periksa bengkel haram dan berlesen

Dalam pada itu, bagi membendung kes kecurian motosikal daripada terus berleluasa, pihak polis juga ketika ini giat menjalankan pemeriksaan di bengkel motosikal berlesen mahupun bengkel motosikal haram bagi mengelakkan berlakunya penjualan motosikal atau komponen curi.

“Kita mahu banteras masalah ini hingga ke akar umbi, jadi kita berusaha pastikan tidak ada bengkel yang jalankan kegiatan lerai dan pasang semula komponen motosikal curi.

“Dalam membendung kes ini kita juga harap kerjasama semua pihak terutama pemilik motosikal agar menjaga harta benda mereka dengan rapi dan diletakkan di tempat selamat ketika ditinggalkan,” katanya.

Kata Normansah, pihaknya juga berharap orang ramai menyalurkan maklumat jika terdapat aktiviti bengkel motosikal haram yang mencurigakan di kawasan masing-masing.

Jelasnya, IPD Kemaman juga ketika ini memberi tumpuan membasmi kegiatan lumba haram sebagaimana saranan Ketua Polis Terengganu.

Tipu kes curi motosikal

Sementara itu, dalam kes berasingan seorang lelaki berusia 40 tahun ditangkap malam kelmarin kerana membuat laporan palsu kononnya motosikalnya dicuri oleh seorang lelaki warga Bangladesh.

Susulan laporan yang dibuat suspek, polis menahan warga Bangladesh itu lebih kurang jam 10 malam kelmarin, namun selepas siasatan lanjut dibuat didapati motosikalnya jenis Demak tidak hilang tetapi dia menjualnya kepada lelaki warga asing itu untuk mendapatkan wang.

Berikutan itu, Normansah berkata, lelaki tersebut ditahan mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan kerana membuat laporan polis palsu.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");