Jenayah

Rempit waktu solat tarawih

PASIR PUTEH – Seramai 23 orang yang dikatakan terlibat dalam aktiviti rempit ketika penduduk sibuk menunaikan solat tarawih ditahan polis menerusi Ops Samseng Jalanan/Lumba Haram di Kampung Pachakan, Semerak dekat sini, malam kelmarin.

Ketua Polis Daerah, Deputi Superintendan Abd Rozak Muhammad berkata, hasil maklumat orang ramai, polis mengadakan operasi membabitkan 42 anggota dan pegawai sebelum berjaya menahan mereka yang berusia dari 13 hingga 30 tahun.

Menurutnya, dalam operasi dari jam 9 malam hingga 1 pagi itu, polis mengeluarkan 23 saman membabitkan 37 kesalahan trafik dengan kesalahan tidak memiliki lesen memandu sebagai kes paling banyak.

“24 motosikal kini ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Puteh untuk siasatan lanjut manakala ujian saringan air kencing mendapati seorang positif dadah.

“Dua lagi ditangkap mengikut Seksyen 29(1) Akta Kesalahan-kesalahan Kecil 1955, namun, 20 mat rempit lain dibebaskan selepas dikenakan saman,” katanya.

Beliau berkata, Kampung Pachakan di Jalan Tok Bali-Kuala Besut itu turut menjadi tumpuan mat rempit dari Kuala Besut, Terengganu.

“Kita kesal, ketika penduduk menunaikan solat tarawih, mereka ini merempit di jalan raya dengan pelbagai aksi berbahaya.

“Sesetengah dari mereka mungkin keluar dengan alasan untuk bertarawih tetapi mereka sebenarnya bersama rakan-rakan di jalan raya,” katanya.

Katanya, bagi mat rempit yang meloloskan diri dalam operasi malam kelmarin, pihaknya akan mengesan mereka itu kerana identiti masing-masing sudah pun dikenal pasti,” katanya.

Abdul Rozak berkata, pihaknya kesal terhadap kumpulan mat rempit itu kerana langsung tidak menghormati Ramadan selain kecewa dengan sikap ibu bapa yang gagal mengawasi pergerakan anak-anak.

“Ibu bapa membiarkan anak-anak menunggang motosikal tanpa lesen memandu, rempit bukan sahaja membahayakan diri sendiri malah turut membahayakan orang lain,” katanya.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");