Jenayah

Rumah diserbu, lapan penagih ditahan

KOTA BHARU – Walaupun sudah enam kali diserbu, seorang pemilik sebuah kediaman di Kampung Bemban, Jalan Bachok di sini tidak serik menjalankan kegiatan pengedaran dadah untuk memperoleh keuntungan berganda.

Lelaki berusia 51 tahun itu masih menjalankan kegiatan itu dan menjadikan rumah binaan papan itu, sebagai pusat jual beli dadah dan dipercayai dibekalkan kepada penduduk di kawasan sekitar.

Namun kegiatan lelaki warga emas itu, akhirnya terbongkar selepas sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Pencegahan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu membuat serbuan ‘Ops Sarang’ di kawasan terbabit sekitar jam 4 petang sehingga 6.30 petang dan menahan lapan penagih termasuk seorang perempuan di sini Khamis lalu.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Superintendan Setapa Yusoff, berkata, semasa serbuan dilakukan terdapat dua lelaki dilihat sedang berurus niaga di kediaman itu dipercayai membeli dadah.

“Pada mulanya kita tahan enam orang dan kemudian dua lagi termasuk yang sedang berurusan dengan tuan rumah berkenaan dan lapan individu ditahan berusia antara 18 sehingga 50 tahun. Kita turut jumpai dadah jenis ganja seberat 4.1 gram serta 30 biji dadah jenis pil kuda,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan sidang media di IPD, di sini semalam.

Menurutnya, pihaknya turut merampas televisyen jenis LCD, jenama Toshiba dan LG selain sebuah projektor jenama NEC dan tiga komputer riba Acer, tiga komputer riba Asus serta komputer riba jenama Asus dan mesin gergaji.

“Kita syaki ia merupakan barang curi. Kita turut merampas wang tunai berjumlah RM13,000 dan jumlah kesemua rampasan bernilai hampir RM30,000,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");