Membawang Hari Ini

Saji 15 program terbaik

Selepas lima tahun beroperasi, TV AlHijrah (TVAH) masih setia mengekalkan tema sama sempena meraikan Ramadan dan Syawal kali ini. Sebanyak 15 program terbaik sepanjang Ramadan disediakan.

Berpaksikan objektif mendidik jiwa penonton dengan program berteraskan agama dan kerohanian, ia seiring tema Ramadan Satu Perjuangan, Syawal Satu Kemenangan. Tema dan konsep sedia ada diguna pakai sejak empat tahun lalu cukup sinonim dengan TVAH.

Seiring dengan tema dan konsep diketengahkan yang menjurus pada program berbentuk dakwah islamiah, ia bersesuaian ditonton semua lapisan masyarakat tanpa mengira umur.

Pengurus Penjenamaan TVAH, Zulkarnaen Mokhtar berkata, selepas mengambil kira pencapaian TVAH empat tahun terdahulu, sememangnya sajian program Ramadan di TVAH sangat kukuh.

“Keadaan itu berbeza pada tahun pertama penubuhan TVAH. Kini sudah tidak terlalu sukar lagi bagi TVAH untuk memperoleh program berkualiti buat penonton.

“Sebagai contoh, drama dan telefilem diterbitkan. Sekarang, agak mudah untuk TVAH membuat pilihan kerana kebanyakan penerbit sudah faham konsep perjuangan TVAH.

“Garis panduan syariah memang diutamakan. Contohnya tiada adegan berpegangan tangan bukan muhrim. Cerita disampaikan juga perlu memberi inspirasi dan tidak membawa impak negatif pada masyarakat,” katanya.

Antara program menarik Ramadan di TVAH meliputi dokumentari, kemasyarakatan serta kerohanian seperti 30 Minit Ustaz Don Istimewa yang menemui penonton mulai esok, dari Isnin hingga Rabu, jam 9.30 malam.

Program dihoskan pendakwah terkenal Ustaz Don Daniyal Don Biyajid itu turut menyiarkan siri tadarus dari rumah ikon pendakwah tanah air, Tan Sri Ustaz Hassan Azhari.

Taman Syurga Istimewa Ramadan dihoskan Ustaz Habib Ali Zainal Abidin pula disiarkan setiap Khamis dan Jumaat, jam 9.30 malam.

Pelbagai pengisian kerohanian dikongsikan memberi fokus kepada kelebihan Ramadan termasuk perkara sunat serta haram dilakukan sepanjang berpuasa.

Tidak ketinggalan, program bual bicara kekeluargaan terbaru TVAH, Masam-Masam Manis dihoskan pasangan suami isteri, Muniff Isa dan Mas Muharni.

Disiarkan setiap Khamis, jam 11.30 pagi mulai 25 Jun ini, pelbagai pengisian membabitkan isu kekeluargaan akan dibincangkan secara holistik.

Bagi golongan wanita yang minat memasak pula, program Santai Ramadan dihoskan Mawi disiarkan setiap Rabu hingga Jumaat, jam 4.05 petang.

Dalam program ini, Mawi akan membawa penonton menyaksikan barisan selebriti tanah air seperti Faizal Ismail, Fizo Omar, Ashraf Muslim dan Lah Ahmad memasak menu pilihan kegemaran mereka untuk sajian berbuka puasa.

-Metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");