Isu Panas

Sesi pemilihan jadi perhatian pada Muktamar Pas

KUALA LUMPUR – Sesi pemilihan kepimpinan baharu Pas bakal menjadi perhatian dalam Muktamar Tahunan Pas Pusat kali ke-61 yang akan berlangsung dari Khamis hingga Sabtu ini di Stadium Tertutup Kuala Selangor, Kuala Selangor.

Sesi pemilihan tersebut disifatkan agak genting ekoran pelbagai isu yang melanda parti itu, seperti kritikan terhadap pengenalan undang-undang hudud di Kelantan dan kerjasama dengan DAP, sekutu parti itu dalam Pakatan Rakyat.

Pemilihan itu yang bakal menentukan kepimpinan parti bagi sesi 2015/2017 akan diadakan pada hari pertama muktamar berlangsung iaitu pada Khamis dan keputusan pemilihan itu dijangka dapat diketahui pada sebelah malam hari yang sama.

Pada pemilihan kali ini, presiden parti Datuk Seri Abdul Hadi Awang akan dicabar bekas naib presiden Ahmad Awang, manakala Timbalan Presiden Mohamad Sabu pula berdepan saingan daripada Naib Presiden Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

Sebelum itu, bersempena dengan Muktamar Pas Pusat tersebut, Dewan Pemuda parti itu turut mengadakan muktamar pada esok di auditorium Dewan Jubli Perak, Bangunan SUK Shah Alam, Shah Alam dan dijangka dirasmikan oleh Mohamad.

Dewan tersebut turut mengadakan pemilihan yang akan menentukan kepimpinan bagi sesi 2015/2017 yang menyaksikan penyandang ketuanya Suhaizan Kaiat dicabar Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz, anak bekas Menteri Besar Kelantan Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Muktamar Dewan Muslimat Pas pula akan diadakan pada Rabu di Pusat Konvensyen Shah Alam yang turut dijangka dirasmikan Mohamad dan sesi pemilihan kepimpinan dewan itu diadakan pada hari yang sama.

Dewan Ulamak Pas pula akan berlangsung pada Rabu di Dewan Dato’ Haji Fadzil Mohd Noor, Kolej Universiti Islam Zulkifli Muhammad (KUIZM), Taman Melewar, Gombak, di sini.

Selain sesi pemilihan, muktamar kali ini dijangka menentukan pendirian Pas berkaitan kerjasama dengan DAP selain memperteguhkan lagi keazaman parti itu untuk melaksanakan hudud. – Bernama

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");