Sukan Hari Ini

‘Speedy Tigers perlu konsisten’

PERJALANAN skuad hoki negara dalam pusingan separuh akhir Liga Hoki Dunia 2015 di Antwerp, Belgium bermula dengan langkah cemerlang.

The Speedy Tigers memulakan kempen pemburuan tiket ke Sukan Olimpik 2016 di Rio de Janeiro, Brazil dengan merekodkan kemenangan pertama, menundukkan China, 3-2.

Bagi Beng Hai, dia berpuas hati dengan kemenangan ini dan pemainnya dapat mengatasi perasaan gugup sewaktu awal permainan.

“Kemenangan pertama ini bagus untuk menaikkan moral dan mengurangkan tekanan dalam diri pemain,” katanya.

Bagaimanapun ia bukan satu kemenangan yang mudah buat pasukan bimbingan Tai Beng Hai.

Dalam aksi Kumpulan B di Stadium KHC Dragons itu, penyerang sensasi Faizal Saari meletakkan Speedy Tigers di hadapan pada minit ke-18 melalui pukulan cantik dari kiri gawang.

Pemain junior negara, Mohamed Haziq Shamsul melebarkan kedudukan, m-30.

China bagaimanapun menyamakan kedudukan menerusi jaringan Guo Xiaoping pada minit ke-37, namun skuad kebangsaan menjarakkan kembali dengan gol ketiga hasil pukulan sudut penalti oleh kapten pasukan, Muhammad Razie Abdul Rahim , 10 minit kemudian.

Zhang Zhixuan cuba mengejar kembali kedudukan pada minit ke-54, namun ia sudah terlambat buat China.

“Saya mengakui bahawa perlawanan itu penuh dramatik.

“Kita bolos disebabkan kelemahan pertahanan. Saya yakin pemain saya belajar sesuatu daripada aksi ini dan tidak akan mengulanginya dalam perlawanan kedua nanti,” kata Beng Hai.

Skuad negara selepas ini akan berdepan Ireland, Khamis ini, diikuti Belgium (Jumaat) dan Britain (Ahad).

“Saya harap prestasi skuad kebangsaan akan lebih konsisten dalam pertemuan seterusnya menentang Ireland. Objektif lawan China tercapai dengan tiga mata,” katanya.

Speedy Tigers janji baiki kelemahan

Bagi Muhammad Razie, dia yang mewakili rakan sepasukan berjanji akan tampil dengan aksi yang lebih baik menentang Ireland nanti.

Ini kerana, dalam aksi pertama itu, Speedy Tigers dengan mudah melepaskan dua gol selain menerima tiga kad yang dilihat mengganggu rentak permainan.

“Kami melakukan kesilapan mudah walaupun permainan itu milik kami.

“Saya percaya rakan-rakan menyedari situasi itu dan kami akan memperbaiki segala kelemahan yang terjadi,” kata Muhammad Razie.

Sementara bagi peledak gol pertama negara, kemenangan ini begitu penting buat semua bagi menyuntik semangat dalam aksi kedua nanti.

“Impian saya adalah beraksi di pentas Olimpik, jadi saya mahu merealisasikannya dengan bermain bersungguh-sungguh,” katanya.-sinar harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");