Perak Hari Ini

Sultan Nazrin Shah Beri Keampunan Kepada 11 Banduan

IPOH: Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan untuk memberi pengampunan kepada 11 banduan yang sedang menjalani hukuman di Penjara Tapah atas kesalahan melibatkan diri dengan perhimpunan haram pada tahun 2009.

Setiausaha Lembaga Pengampunan Negeri Perak, Datuk Razali Othman berkata, keputusan berkenaan telah dibuat dalam Persidangan Lembaga Pengampunan Negeri Perak Darul Ridzuan Bilangan 2/2015 yang dipengerusikan oleh Baginda pada 17 Jun 2015 iaitu sehari sebelum Ramadhan.

Beliau berkata, Sultan Perak telah menitahkan supaya 11 banduan yang telah disabitkan kesalahan dan telah menjalani hukuman penjara sejak 18 Mac yang lalu, diremitkan hukuman penjara dan dibebaskan berkuatkuasa pada hari ini (18 Jun 2015).

Ia bagi membolehkan kesemua banduan berkenaan menunaikan ibadah puasa dan menyambut Syawal yang bakal menjelang tidak lama lagi bersama kaum keluarga.

Kesemua banduan berkenaan telah dikenakan hukuman penjara selama 10 bulan bermula daripada tarikh 18 Mac 2015 hingga 2 Oktober 2015 atas kesalahan melibatkan diri dengan perhimpunan haram di bawah Seksyen 145 Kanun Keseksaan pada tahun 2009 di hadapan Masjid Ubudiah, Kuala Kangsar.

Razali berkata, Sultan Perak telah membentangkan rayuan yang telah dipersembahkan secara terus kepada Baginda oleh 11 banduan berkenaan .

“Semasa Lembaga Pengampunan Negeri Perak Darul Ridzuan mengadakan persidangan pada 5 Mei 2015, sehari sebelum tarikh pertabalan, Baginda telah membentangkan 12 rayuan yang dikemukakan oleh banduan berkenaan.

“Dalam Persidangan tersebut, Baginda hanya berkenan atas ihsan dan budi bicara untuk meremitkan baki hukuman penjara kepada hanya seorang banduan sahaja kerana banduan berkenaan mengemukakan rayuan secara sendiri kepada Baginda,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan media yang diperkenankan oleh Sultan Nazrin di sini, hari ini.

Ujarnya Sultan Perak juga menzahirkan teguran keatas baki banduan berkenaan kerana rayuan yang dikemukakan kepada Baginda tidak teratur dan menggunakan pihak ketiga disamping tidak mempersembahkannya melalui Pegawai Yang Menjaga Penjara.

Namun pada kali ini, tambahnya lagi, kesemua 11 banduan berkenaan telah menyembahkan sendiri rayuan masing-masing melalui saluran yang betul.

“Baginda berpuas hati dengan ulasan Pegawai Yang Menjaga Penjara Tapah bahawa kesemua banduan berkenaan telah menunjukkan keinsafan dan berkelakuan baik semasa menjalani hukuman penjara.

“Baginda juga berpuas hati dengan pengakuan keinsafan banduan di atas kesalahan yang mereka lakukan dan janji mereka untuk tidak mengulangi melakukan kesalahan,” tegas beliau lagi.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");