Arau: Perancang utama kes melarikan dua kereta dari sebuah pusat pameran kenderaan di Kompleks Perniagaan Utara Jejawi, di sini, pada bulan lalu bersama lima rakannya ditahan polis dalam beberapa serbuan di Kedah antara 8 Jun hingga Selasa lalu.
Ketua Polis Daerah Superintendan Ku Yaacob Ku Hamad berkata, enam lelaki terbabit berusia antara40 hingga 45 tahun dikehendaki polis kerana terbabit dalam kes curi kenderaan di daerah ini.
Menurutnya, dalam kejadian itu, suspek melarikan sebuah kenderaan pacuan empat roda Ford Ranger dan sebuah kereta Ford Focus.
“Polis kemudian mengesan suspek sebelum menahan seorang lelaki yang juga perancang utama di sebuah taman perumahan di Bukit Selambau, Sungai Petani, Kedah pada 8 Jun lalu.
“Kami turut menemui semula kereta Ford Focus yang dipercayai dilarikan dari pusat pameran kenderaan itu bulan lalu,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Arau, di sini, semalam.
Ku Yaacob berkata, siasatan lanjut pihaknya berjaya menahan lima lagi lelaki di Gurun dan turut menemui dua kereta iaitu Toyota Vios dan Honda City yang dipercayai dicuri di Machang Bubuk, Seberang Perai, Pulau Pinang dan Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur.
“Modus operandi sindiket ini adalah mereka akan mencari pusat pameran kenderaan dan memecah masuk dengan mengumpil pintu premis sebelum menuju ke bilik penyimpanan kunci dan membawa lari kereta terbabit,” katanya.
Beliau berkata, siasatan juga mendapati tiada pembabitan orang dalam berkaitan kes melarikan kereta di pusat pameran itu.
-http://www.hmetro.com.my/node/60562#sthash.QC7z7Fxm.dpuf
-Metro