Jenayah

Tak sempat nikmati hasil rompakan

KUANTAN – Tiga penjenayah bersenjatakan dua laras senapang angin dan sebilah pedang samurai bertindak nekad melakukan samun ke atas seorang pemborong kelapa sawit sebelum melarikan wang tunai RM22,500 ketika mangsa sedang minum di sebuah kedai di hadapan Kilang Sawit Felcra, simpang Jengka, Maran, 12.30 tengah hari kelmarin.

Bagaimanapun hasil tindakan pantas polis dengan kerjasama pelbagai pihak, ketiga-tiga suspek berjaya diberkas kurang lima jam selepas kejadian ketika bersembunyi dalam sebuah ladang kelapa sawit di Jengka 5.

Berikutan penahanan suspek berusia 19 hingga 33 tahun itu polis berjaya menemui dan merampas wang tunai RM12,068, dua laras senapang angin buatan sendiri, sebilah pedang, dua buah motosikal, 35 biji peluru guli, dan 3.98 gram dadah disyaki syabu dan barangan lain di beberapa lokasi berasingan.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, Asisten Komisioner Rosly Hassan berkata, ketiga-tiga suspek yang didapati positif dadah itu kini ditahan untuk siasatan lanjut bagaimanapun hasil semakan rekod mendapati mereka tiada rekod jenayah lampau.

Menurutnya, kejadian dipercayai berlaku ketika sedang minum di sebuah kedai bersama beberapa pelanggan lain.

“Kita percaya suspek sudah mengenal pasti sasaran mereka itu lebih awal sebelum mengekori mangsa dan bertindak selepas peluang terbuka.

“Suspek bertindak nekad menghampiri mangsa dan salah seorang daripada mereka mengacukan senapang sebagai amaran sebelum meminta lelaki itu menyerahkan wang,” katanya.

Rosdy berkata, tidak puas hati dengan habuan diterima, suspek membawa mangsa ke kenderaannya sebelum merampas sebuah beg berisi wang modal pusingan perniagaan berjumlah lebih RM20,000.

“Selepas mendapat habuan yang dihajatkan, suspek melarikan diri menaiki dua buah motosikal bagaimanapun mangsa bersama rakan-rakan bertindak mengejar sehingga ke kawasan ladang sawit Jengka 5.

“Menyedari diekori, suspek bertindak meninggalkan motosikal sebelum melarikan diri dalam kawasan ladang tersebut,” katanya.

Menurutnya, mangsa yang bimbang keselamatan terancam membatalkan hasrat untuk terus mencari suspek sebaliknya segera menghubungi polis.

“Susulan maklumat diterima, sepasukan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Maran dengan bantuan Balai Polis Jengka, Polis Bantuan Felda, pengawal keselamatan Felcra, Bahagian Narkotik IPD Maran melancarkan operasi bersepadu untuk menjejaki suspek.

“Hasil operasi digerakkan, kita berjaya mengesan dan menahan suspek pertama berusia 27 tahun kira-kira jam 2.30 petang di satu kawasan dengan jarak tiga kilometer dari tempat kejadian,” katanya.

Rosdy berkata, manakala dua lagi suspek beusia 19 dan 33 tahun berjaya ditahan kira-kira jam 5 petang, lima kilometer dari lokasi kejadian.

“Ketika ditahan semua suspek tidak bersenjata dan tiada sebarang hasil rompakan ditemui bagaimanapun hasil soal siasat mendedahkan lokasi tempat mereka mencampakkan senjata serta wang tunai yang disamun sebelum ini.

“Berdasarkan maklumat diberikan kita berjaya menemui sebahagian wang yang dirompak selain senjata yang digunakan,” katanya.

Beliau berkata, suspek dipercayai berpecah ketika melarikan diri dan mencampak kesemua bahan bukti di lokasi berasingan bagi mengelabui mata pihak polis.

“Suspek dan barang rampasan di bawa ke IPD Maran untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan, Seksyen 8 Akta Senjata Api 1960, Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan Seksyen 15(1) ADB.

“Kita sedang mengesan kemungkinan sebahagian wang hasil samun itu masih berada di lokasi memandangkan wang tunai yang dirampas kurang daripada jumlah yang dilaporkan disamun dalam kejadian sebelum itu,” katanya.

Menurutnya, pihaknya akan melakukan siasatan termasuk mengenal pasti latar belakang jenayah suspek dan kemungkinan penglibatan mereka dalam kes-kes yang pernah dilaporkan.

-Sinar harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");