KOTA BHARU – Seorang warga emas cedera selepas tangan kirinya digilis tayar belakang kereta dinaiki dua lelaki berjubah dan memakai kopiah dalam kejadian ragut di hadapan sebuah bank di Jalan Lundang, kira-kira jam 11.45 pagi, kelmarin.
Mangsa, Latifah Che Mood @ Mahmood, 65, bukan sahaja mengalami kesakitan akibat kejadian itu, malah turut menanggung kerugian kira-kira RM2,100.
Latifah berkata, selepas mengeluarkan wang untuk membayar zakat dari bank berhampiran, dia dihampiri seorang lelaki yang terus meragut beg tangannya.
“Makcik cuba melawan dan tarik beg tangan tetapi lelaki terbabit segera melarikan diri ke arah kereta jenis Perodua Myvi yang telah menunggu. Ada seorang lagi lelaki dalam kereta tersebut.
“Dalam keadaan cemas itu, lelaki tersebut tendang makcik hingga terjatuh. Dia sempat tarik gelang tangan di tangan kiri makcik. Kereta bergerak dan tangan makcik kena gilis,” katanya kepada Sinar Harian.
Menurutnya, akibat kejadian itu, dia mengalami luka di jari dan lengan kiri serta luka di lutut.
“Dalam beg tangan tersebut ada pelbagai jenis kad ATM, lesen memandu, kad pesara suami dan wang tunai bernilai RM2,100.
“Apa pun makcik bersyukur kerana selamat dan tidak diapa-apakan, hanya mengalami kecederaan ringan,” katanya yang membuat laporan polis di Balai Polis Kubang Kerian, ditemani anak bongsunya Nik Nasrun Nazmi Nik Mohamad selepas kejadian.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Rohaimi Md Isa mengesahkan menerima laporan kejadian.
Menurutnya, hasil semakan nombor pendaftaran kereta dinaiki suspek didaftarkan atas nombor pendaftaran motosikal dan disyaki palsu.
“Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 394 Kanun Keseksaan. Kami masih giat memburu suspek terlibat,” katanya.
-Sinar Harian