Sukan Hari Ini

Terpaksa rombak!

Johor Bahru: Pengendali Johor Darul Ta’zim (Johor DT) Mario Gomez mengesahkan pemain import Hariss Harun tidak dapat diturunkan pada pertembungan menentang Terengganu dalam aksi pusingan kedua Liga Super di Stadium Larkin malam ini.

Gomez berkata, kecederaan lutut kanan yang dialami pemain antarabangsa Singapura itu memaksanya untuk membuat rombakan kecil bagi memantapkan posisi tengah dan kemungkinan besar bakal menurunkan sama ada Junior Eldstal atau Shakir Shaari berikutan ketiadaan Hariss.

Malah, beliau juga tampak lega dengan kelibat S Kunanlan dan Nazrin Nawi yang sudah pulih daripada kecederaan dan kembali menjalani latihan seperti biasa.

“Saya perlu buat rombakan di posisi tengah selepas tidak dapat menggunakan khidmat Hariss yang mengalami kecederaan dan kemungkinan Shakir atau Junior akan beraksi di posisi itu.

“Ada dua atau tiga pemain utama juga akan direhatkan kerana mereka kelihatan penat selepas aksi menentang lawan sama Sabtu lalu dan saya perlu menggunakan khidmat pemain baru untuk menguatkan lagi kesebelasan utama.

“Kita tidak boleh terlepas peluang meraih tiga mata dan kesempatan itu harus diambil memandangkan kita beraksi di laman sendiri untuk terus mengejar Pahang,” katanya.

Gomez berpendapat, Terengganu yang dibimbing Abdul Rahman Ibrahim itu mampu melakar kejutan sekiranya pemain Johor DT mengamalkan sikap sambil lewa pada perlawanan itu nanti.

Katanya, kemenangan di tempat lawan hujung minggu lalu cukup penting untuk memberi lebih keyakinan kepada pemainnya apabila berdepan Terengganu malam ini.

“Teknik permainan dan corak kawalan bola mudah sering saya terapkan kepada pemain dalam sesi latihan dan mereka tampak sudah mula menunjukkan keserasian dengan corak itu tetapi saya masih perlu memperbaiki kelemahan untuk memantapkan lagi pasukan.

“Saya mahu mengingatkan pemain supaya sentiasa berwaspada dengan ancaman Terengganu kerana pasukan itu amat bagus dan kita perlu beraksi konsisten untuk mencatat kemenangan,” kata Gomez.

– http://www.hmetro.com.my/

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");