PONTIAN – Hasrat seorang pelajar mahu memakai jubah baharu Aidilfitri ini tidak kesampaian apabila maut dalam nahas jalan raya di di Kilometer 60.4 Jalan Johor Bahru-Batu Pahat sebelum jambatan sungai Pontian Kecil, semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 2.50 pagi itu, motosikal ditunggangi mangsa, Mohd Aminuddin Yusof, 15, dipercayai bertembung sebuah kren yang melakukan kerja-kerja penukaran lampu jalan.
Ibu mangsa, Noralia Mohammad, 50, berkata, dia tidak menyangka permintaan untuk memakai jubah dan bukannya baju Melayu seperti kelaziman setiap kali Aidilfitri adalah permintaan terakhir arwah.
“Arwah tidak meminta dibelikan baju Melayu sebaliknya telah menempah jubah melalui atas talian,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Sri Aman, semalam.
Jelasnya arwah yang merupakan anak ketujuh daripada lapan beradik juga telah memadamkan semua gambar diambilnya sendiri yang ada di dalam telefon bimbitnya.
“Sejak tiga hari lalu, arwah sering mengucapkan sayang berulang kali. Dia seperti mahu mengucapkan ‘tanda perpisahan’ kami pada bulan Ramadan ini,” katanya.
Jelasnya, pada malam kejadian, anaknya kelihatan gelisah dan berulang kali menunggang motosikal seorang diri di kawasan taman perumahan sebelum keluar ke bandar Pontian kira-kira jam 1 pagi.
“Saya mendapat tahu mengenai kejadian kira-kira pukul 3 pagi melalui rakannya yang datang memberitahu Amin (Mohd Aminuddin) terlibat dalam kemalangan jalan raya di bandar,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Pontian, Deputi Superintenden, Jokhiri Abdul Aziz berkata, kemalangan tersebut melibatkan motosikal jenis Yamaha LC yang datang dari arah Pontian ke Kukup dengan sebuah kren.
“Kejadian berlaku dipercayai apabila remaja ini gagal mengawal motosikal ditunggangi sebelum melanggar kren yang sedang melakukan kerja,” katanya.
Tambah Jokhiri, mangsa yang cedera di kepala disahkan meninggal dunia sejurus tiba di Hospital Pontian.
“Kes disiasat bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan, 1987,” katanya.
-Sinar Harian